Vaksinasi jumpa terus bagi remaja 20 Nov ini

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Remaja berusia 12 hingga 17 tahun yang tidak lagi bersekolah di sekolah-sekolah di bawah kawalan Kementerian Pendidikan boleh mendapatkan vaksinasi secara jumpa terus (walk-in) di Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup bermula 20 November ini.

Mereka juga boleh membuat tempahan vaksinasi melalui aplikasi BruHealth bermula 19 November, kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada Sidang bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

“Tempahan BruHealth dan jumpa terus itu juga dibukakan kepada para remaja yang tidak dapat hadir ke pusat vaksinasi semasa program vaksinasi remaja dari 8 hingga 18 November disebabkan perkara-perkara seperti menjalani pengasingan diri atau perintah kuarantin,” jelasnya.

Beliau turut mengongsikan bagi penuntut berkeperluan khas, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan telah mengaturkan perjanjian mereka di beberapa buah pusat vaksinasi yang mana mereka diberikan keutamaan laluan khas bagi penuntut-penuntut tersebut.

Manakala bagi penuntut yang menghidap penyakit yang berat dan tidak dapat menghadiri pusat vaksinasi pula, kementerian akan mengaturkan perkhidmatan vaksinasi yang dijalankan di satu masa dan tempat khas atau di rumah masing-masing pada tarikh sesuai yang akan dimaklumkan nanti, tambahnya.