Vaksinasi jumpa terus diperluas di Labuan

LABUAN, 22 JUN – Kaedah vaksinasi secara jumpa terus (walk-in) yang dijalankan di pusat pemberian vaksin (PPV) yang  baharu dibuka di Dewan Mutiara Kolej Matrikulai Labuan (LMC) diperluas ke PPV Dewan Sri Labuan Jabatan Kerja Raya (PWD) hari ini.

Langkah memperluas kaedah jumpa terus itu susulan kejayaan pelaksanaannya di LMC dengan lebih 1,000 individu dari beberapa kampung mengambil peluang mendapatkan suntikan vaksin setiap hari berbanding kurang daripada 1,000 orang di PPV di PWD dan Kompleks Darul Kifayah.

Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Mohd Dzulfaizal Abd Manan berkata vaksinasi secara jumpa terus (tanpa perlu menunggu janji temu MySejahtera tapi berdaftar secara manual melalui ketua kampung dan MPP) bertujuan mempercepat pelaksanaan vaksinasi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan telah melantik MPP untuk menyelaras vaksinasi secara jumpa terus di Dewan Mutiara LMC membabitkan penduduk kampung di kawasan yang tidak dikenakan sekatan pergerakan bermula 7:30 pagi hingga 4 petang.

“Kami berjaya mendapatkan lebih 6,000 penduduk daripada lebih 10 kampung sejak pembukaan PPV LMC pada 17 Jun hingga hari ini.

“Kehadiran adalah memberangsangkan daripada penduduk kampung pelbagai lapisan umur antara 18 hingga 70 tahun, seawal 5:30 pagi, tapi kita tidak boleh lagi berpuas hati kerana masih ramai yang berada atas pagar terutama penduduk di kampung-kampung yang memerlukan penjelasan mengenai kepentingan vaksin,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di PPV LMC hari ini. – Bernama

Antara penerima vaksin secara ‘walk-in’ di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Mutiara Kolej Matrikulasi Labuan (KML), semalam. – Bernama