LABUAN, 4 APRIL – Jumlah kanak-kanak berumur antara lima dan 11 tahun serta golongan warga emas yang telah menerima atau melengkapkan vaksinasi COVID-19 di Labuan, masih jauh daripada yang diharapkan, kata Pengarah Jabatan Kesihatannya Dr Ismuni Bohari.
Beliau berkata perkara itu diketahui hasil pemantauan yang dijalankan oleh petugas kesihatan di seluruh pulau bebas cukai itu dari 23 Feb hingga 29 Mac lepas.
“Agak mengecewakan melihat hanya sejumlah kecil daripada kumpulan berkenaan mengambil dan melengkapkan vaksinasi mereka meskipun berlaku peningkatan kes COVID-19 membabitkan kanak-kanak dan warga emas.
“Kami telah menjalankan kempen secara meluas untuk menarik orang ramai terutama kanak-kanak dan warga emas mendapatkan vaksin, tetapi nampaknya ia seolah-olah tidak diendahkan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Menurutnya 73 peratus daripada 926 kanak-kanak (lima hingga 11 tahun) yang dipantau belum menerima vaksin, manakala bakinya iaitu 254 orang hanya menerima dos pertama, walaupun Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) telah dilancarkan sejak 7 Feb lepas.
“Bagaimanapun, kadar imunisasi dalam kalangan remaja (12-17 tahun) terus meningkat dengan 80 peratus daripada 699 remaja lengkap divaksinasi, tujuh peratus menerima dos pertama dan baki 13 peratus masih belum menerima vaksin,” katanya. – Bernama