Vaksinasi ke rumah minggu ini

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 DIS – Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak bagi perkhidmatan rumah-ke-rumah dijalankan lagi pada minggu ini, bermula hari ini hingga 30 Disember di beberapa tempat tertentu bagi penduduk yang tidak dapat menerima vaksinasi di klinik disebabkan masalah kesihatan atau kesukaran bergerak.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau mengongsikan, pada hari ini, perkhidmatan telah dijalankan Mukim Kota Batu dan Mukim Berakas A, manakala itu esok ia akan diadakan di Mukim Berakas A, Mukim Berakas B, Gadong A dan Mukim Kuala Belait.

Pada 29 Disember, perkhidmatan tersebut akan dilaksanakan di Mukim Berakas A, Mukim Berakas B, Mukim Kianggeh, Mukim Kota Batu dan Mukim Liang, manakala itu, pada 30 Disember pula, perkhidmatan akan diadakan di Mukim Mentiri dan Mukim Gadong A.

Perkhidmatan rumah ke rumah berkenaan akan dijalankan dari pukul 9 pagi hingga 2:30 petang.

“Penduduk yang memenuhi kriteria bagi perkhidmatan rumah ke rumah ini akan lebih awal dihubungi oleh pihak Kementerian Kesihatan bagi saringan awal, dan mereka diminta untuk memberikan nombor kad pengenalan atau pasport, serta kad (atau nombor) Bru-HIMS, jika ada,” jelas beliau