WASHINGTON, 16 FEB – Anak damit dilahirkan oleh ibu yang lengkap vaksinasi COVID-19 ketika hamil, didapati mempunyai kira-kira 60 peratus kebarangkalian tidak dimasukkan ke hospital akibat virus itu, menurut satu kajian yang dijalankan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS).
Kajian itu adalah yang pertama menunjukkan potensi faedah kepada anak damit yang dilahir kepada ibu yang menerima dua dos vaksin Pfizer atau Moderna semasa kehamilan, kata CDC dalam satu taklimat.
Kesan perpindahan imuniti menerusi plasenta ketika kehamilan dan penyusuan anak damit selepas dilahirkan, telah menjadi hipotesis sebelum ini – namun, ia hanya disokong bukti sebenar kini.
CDC menjalankan satu kajian membabitkan 379 anak damit berusia satu hingga enam bulan, yang dimasukkan ke hospital di 20 pusat pediatrik dalam tempoh antara Julai 2021 hingga Januari lalu.
“Anak damit berusia kurang enam bulan yang ibu mereka menerima suntikan vaksin, didapati mempunyai 61 peratus kebarangkalian tidak dimasukkan ke hospital akibat COVID-19,” kata penyelidik CDC, Dana Meaney-Delman, dalam temu bual dengan media menerusi telefon.
Malah, sebanyak 84 peratus anak damit yang dimasukkan ke hospital akibat jangkitan virus itu didapati dilahirkan ibu yang tidak menerima suntikan vaksin COVID-19 ketika mengandung.
“Asasnya, vaksinasi ketika mengandung adalah amat penting bagi melindungi anak damit,” kata Meaney-Delman. – AFP