Vaksinasi lengkap melonjak 83.2 peratus

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 DIS – Seramai 5,524 orang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 di seluruh Negara Brunei Darussalam, kelmarin, membawa jumlah penduduk yang menerima satu dos vaksin kepada seramai 404,557 orang iaitu 94.1 peratus daripada jumlah penduduk negara.

Manakala itu, jumlah penduduk yang melengkapkan dua dos vaksin melonjak kepada 83.2 peratus iaitu 357,604 orang.

Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, hari ini, di mana beliau turut mengongsikan mengenai liputan vaksinasi dalam kalangan penduduk berumur 60 tahun ke atas.

Yang Berhormat Dato berkata, kadar vaksinasi dalam kalangan penduduk 60 tahun ke atas telah melebihi 98 peratus bagi kedua-dua dos iaitu bagi mereka yang telah menerima satu dos dan bagi dua dos vaksin.

Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam kini telah mencatatkan sebanyak 762,161 jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan dos kedua vaksin COVID-19, sejak ia mula diberikan pada 3 April lalu.

Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 488,036 pemberian, diikuti dengan Daerah Belait sebanyak 103,498, Daerah Tutong sebanyak 88,472 dan Daerah Temburong sebanyak 82,155.