Vaksinasi lengkap, separuh kapasiti diutamakan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Sebagai usaha bersepadu, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi telah mengongsikan mengenai pelaksanaan garis panduan Fasa Peralihan bagi beberapa perkhidmatan sekolah memandu, pengangkutan awam darat dan juga pengangkutan awam air.

Ia adalah susulan kepada pengumuman Fasa Peralihan Rangka Kerja Pelan Pemulihan Kebangsaan COVID-19 yang telah pun dikongsikan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua semasa Sesi Sidang Media COVID-19 pada Selasa, 9 November lalu yang akan mula berkuat kuasa pada Jumaat 19 November ini.

Perkongsian tersebut disampaikan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan hari ini.

“Garis panduan ini dikongsikan bagi memastikan pihak-pihak yang terlibat, dari segi pengawal selia, pengusaha dan juga orang ramai sentiasa bekerjasama dan mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan kitani bersama,” jelas Yang Berhormat Dato.

Bagi pembukaan sekolah-sekolah memandu, latihan dan ujian memandu, menurut Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, sebanyak 23 pengusaha sekolah-sekolah memandu akan beroperasi semula di mana seramai 308 pelajar dari keempat-empat daerah sedang menantikan ujian praktikal memandu.

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi semasa berucap pada sidang media kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

“Pelajar-pelajar akan diberikan peluang untuk membuat latihan praktikal memandu bermula 20 November 2021 bagi memastikan kesediaan untuk menjalankan ujian memandu yang dijadualkan bermula 27 November mengikut penjadualan yang telah ditetapkan,” jelas beliau.

Katanya lagi, sebanyak 318 slot untuk ujian praktikal memandu telah disediakan bermula 27 November hingga 31 Disember dengan 15 slot ujian sehari di Kompleks Litar Memandu Sungai Akar dan cawangan JPD di daerah-daerah yang lain, dan slot ujian praktikal akan diuruskan oleh sekolah memandu masing-masing.

“Sebagai langkah pengawalan semasa Fasa Peralihan ini, setiap pelatih, penguji dan pelajar dimestikan untuk melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 dan menjalani ujian antigen rapid test (ART) seperti yang ditetapkan dalam garis panduan sekolah-sekolah memandu yang dikeluarkan pada 12 November 2021 melalui laman sesawang www.jpm.gov.bn,” jelas Yang Berhormat Dato.

Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan bagi garis panduan bagi perkhidmatan pengangkutan awam, terdapat syarat-syarat utama yang perlu dipatuhi bagi perkhidmatan pengangkutan awam darat yang melibatkan pengangkutan bas awam, teksi dan perkhidmatan-perkhidmatan e-hailing seperti DART, dan pengangkutan awam air iaitu bot dan kapal penumpang dan penambang.

Yang Berhormat Dato menjelaskan, pemandu, petugas dan penumpang yang dibenarkan adalah mereka yang sudah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19.

“Had kapasiti bagi kenderaan bas awam, teksi dan e-hailing ditetapkan kepada 50 peratus daripada kapasiti penumpang, tidak termasuk pemandu. Sebagai contoh, bagi teksi dan e-hailing, jika muatan kenderaan adalah untuk lima orang, hanya dua orang penumpang yang dibenarkan.”

Begitu juga bagi sebarang pengangkutan awam air, menurut beliau, had kapasiti adalah 50 peratus daripada kapasiti penumpang dan ini tidak termasuk pemandu. Yang Berhormat Dato menambah bahawa hanya penumpang yang mempunyai kod BrHhealth berwarna hijau atau kuning sahaja yang dibenarkan menaiki pengangkutan-pengangkutan awam berkenaan.

Garis panduan penuh mengenai perkhidmatan-perkhidmatan pengangkutan awam darat dan pengangkutan awam air ini boleh diperoleh dari laman sesawang www.jpm.gov.bn.

Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato menyeru orang ramai untuk memainkan peranan bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dikawal dengan mematuhi peraturan dan arahan-arahan yang telah dikeluarkan.

“Dalam kesempatan ini, saya bagi pihak Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada orang ramai khususnya dan pihak-pihak yang terlibat di atas kerjasama dalam memastikan penularan wabak COVID-19 ini akan dapat kitani kawal bersama dan kesejahteraan semua pihak adalah terjaga,” tambah beliau.