Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    ‘Vaksinasi mungkin setiap tahun’

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Kementerian Kesihatan telah membuat perancangan dan perundingan untuk mendapatkan vaksin bagi apa jua varian COVID, yang dihasilkan oleh pembuat vaksin yang diperlukan bagi melindungi rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam.

    “Besar kemungkinan kita memerlukan vaksin COVID setiap tahun seperti vaksin selesema (flu). Jika dilihat penduduk kita yang mula-mula mengambil vaksin sudah lebih setahun dan boleh dianggap dos penggalak sebagai dos tahunan,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar ketika mengulas mengenai kemungkinan Kementerian Kesihatan mendapatkan vaksin COVID khusus bagi varian Omicron.

    Semasa sidang media COVID yang berlangsung di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini, beliau juga menerangkan bahawa virus COVID diketahui akan berubah (mutasi), maka kementerian mempunyai perancangan bagi menangani keadaan tersebut.

    Oleh itu, tambahnya, perundingan telah dibuat dengan penghasil vaksin di mana pada masa akan datang, apa jua varian yang muncul (varian x) yang telah dihasilkan vaksin untuk mencegahnya akan diberikan kepada Negara Brunei Darussalam.

    Beliau menekankan, vaksin yang didapatkan itu tidak semestinya bagi varian Omicron tetapi apa jua vaksin dihasilkan yang diperlukan pada masa akan datang.

    “Itulah yang akan diperoleh serta didapatkan oleh Kementerian Kesihatan,” tekannya lagi.

    Yang Berhormat Dato mendedahkan pada masa ini, pembuat vaksin sedang menghasilkan bivalent vaccine iaitu bagi virus Wuhan dan varian Omicron di mana ia pada masa ini, ia sedang melalui proses kajian.

    Menurutnya, pada suku ketiga 2022, berkemungkinan keputusan bagi kajian berkenaan akan diketahui sama ada ia menunjukkan keberkesanan atau sebaliknya.

    “Jika itu ada keputusannya dan menunjukkan ia lebih baik daripada apa yang ada masa ini, itu jua akan didapatkan oleh kerajaan kita,” ujarnya.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media COVID di Kementerian Kesihatan. – Gambar oleh Syahmi Hassan

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...