Vaksinasi pelajar sebaik vaksin Pfizer tiba di Brunei

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Kementerian Kesihatan akan memberikan suntikan vaksin Pfizer kepada para pelajar yang berusia 12 tahun hingga 17 tahun apabila program vaksinasi bagi golongan berkenaan bermula setelah bekalan vaksin tiba di Negara Brunei Darussalam.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, ketika mengulas mengenai dapatan dan kaji selidik mengenai pemberian suntikan vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak semasa sidang media hari ini.

Beliau menerangkan Kementerian Kesihatan lebih cenderung untuk memberikan vaksin jenis Pfizer kepada kanak-kanak di Brunei walaupun negara-negara lain ada menggunakan vaksin lain seperti vaksin Moderna.

Manakala itu, Yang Berhormat Dato berkata disebabkan program vaksinasi berkenaan adalah untuk kanak-kanak, ia perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak ibu bapa bagi melaksanakan suntikan vaksin itu.

Dalam hubungan itu, beliau berkata kerjasama daripada Kementerian Pendidikan telah dilakukan bagi membuat persediaan awal supaya orang ramai khususnya ibu bapa memahami program itu akan dilaksanakan apabila vaksin berkenaan tiba.

“Kementerian Pendidikan sedang berusaha bersama semua sekolah iaitu sekolah kerajaan dan sekolah swasta untuk memastikan segala persediaan. Jadi apabila vaksin sudah ada, ia dapat dilaksanakan secepatnya.”

Yang Berhormat Dato juga me-ngongsikan dapatan kajian ke atas kesan sampingan terhadap para pelajar yang menerima vaksin itu juga ringan.

Ia merupakan kesan sampingan yang biasa dialami oleh mereka yang menerima suntikan vaksin seperti rasa sakit pada tempat yang disuntik dan demam.

Namun begitu, jelas Yang Berhormat Dato, satu kesan sampingan yang serius tetapi pada jumlah yang amat sedikit adalah keradangan pada otot jantung ataupun selaput jantung di mana ia boleh terjadi kepada golongan muda iaitu mereka yang berusia bawah 30 tahun ke bawah.

“Ia terjadi pada kadar satu dalam lebih 100,000 orang di mana jika ditimbangkan dari segi risiko dan manfaat, didapati risiko itu adalah sangat ringan dan mereka yang mengalami keradangan tersebut adalah tidak memudaratkan dan mereka semua sembuh dengan hanya memerlukan pemantauan.

“Setakat ini, belum ada menunjukkan kematian yang berkaitan secara langsung dengan pemberian vaksin,” ulasnya lagi.

Menurutnya lagi, dengan sekitar 70 peratus penduduk dewasa negara telah mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, program vaksinasi kebangsaan mencapai sasaran lebih awal daripada yang dijangkakan, maka ia akan memudahkan kerajaan untuk memberikan suntikan vaksin kepada kanak-kanak di pusat-pusat vaksinasi yang tersedia.

Beliau menerangkan perancangan awal adalah untuk memberikan suntikan vaksin di sekolah-sekolah tetapi dengan jumlah penduduk dewasa yang perlu menerima suntikan vaksin tidak ramai, kemungkinan pemberian suntikan vaksin kepada kanak-kanak akan dilakukan di pusat-pusat vaksinasi yang sedia ada kerana segala kemudahan telah tersedia serta tidak memerlukan bagi penambahan kemudahan berkenaan di sekolah-sekolah.