Vaksinasi secara jumpa terus setiap Jumaat

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah akan mula dibukakan pada setiap Jumaat mulai esok (24 September) pada 2:30 petang hingga 8 malam bagi vaksinasi secara jumpa terus.

Penambahan waktu vaksinasi tersebut adalah bagi semua orang awam yang belum menerima dos pertama.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Sehubungan dengan ini, Yang Berhormat Dato turut menjelaskan bahawa bagi orang ramai yang belum mempunyai BruHealth atau BruHIMS, dinasihatkan untuk membawa dokumen peribadi seperti kad pengenalan, pasport atau surat pengenalan rasmi yang lain.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga turut menyarankan kepada orang ramai yang hadir bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 secara walk-in yang dibukakan pada setiap hari Jumaat tersebut supaya bersabar semasa menunggu giliran dan sentiasa mematuhi segala peraturan serta arahan seperti memastikan penjarakan fizikal dan menggunakan pelitup muka.

Di samping itu, Yang Berhormat Dato juga berharap orang ramai mengambil kesempatan ini terutama sekali bagi yang belum mendapatkan dos pertama vaksin COVID-19 supaya dapat tampil ke hadapan atau bagi mereka yang diganjakkan tarikh tempahan mereka untuk mendapatkan dos pertama vaksin COVID-19.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa menerangkan mengenai pembukaan Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup semasa sidang media tersebut.- Gambar oleh Muiz Matdani