Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Tempahan slot untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 melalui aplikasi BruHealth bagi warga emas berumur 60 tahun ke atas mula dibuka dan pelaksanaan suntikan berkenaan akan mula dijalankan pada 24 April di mana vaksin COVID-19 AstraZeneca akan ditawarkan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, setakat ini, dalam fasa pertama perlaksanaan program vaksin COVID-19, seramai 10,715 orang individu telah menerima dos pertama suntikan vaksin COVID-19.
Kenyataan menyatakan lagi bahawa sebagaimana yang telah dimaklumkan sebelum ini bahawa tidak mandatori untuk mendapatkan vaksin COVID-19. Walau bagaimanapun, orang ramai adalah dialu-alukan untuk mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin apabila tempahan untuk mendapatkan slot suntikan diumumkan mengikut fasa-fasa yang ditetapkan.
Kenyataan turut menyatakan bahawa seperti yang telah dimaklumkan semasa sidang media Kementerian Kesihatan pada 19 April lalu, berdasarkan penilaian keseluruhan Jawatankuasa Teknikal bagi Vaksin COVID-19 bahawa pemberian vaksin COVID-19 AstraZeneca boleh ditawarkan dengan syarat-syarat iaitu memandangkan peningkatan risiko yang diperhatikan dalam kalangan individu-individu yang berusia lebih muda, dan risiko yang rendah serta nisbah faedah yang tinggi bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas, vaksin AstraZeneca akan ditawarkan kepada orang dewasa berumur 60 tahun ke atas.
Di samping itu, vaksin COVID-19 AstraZeneca boleh digunakan dalam kalangan orang dewasa yang berusia di bawah 60 tahun jika manfaat menggunakannya melebihi risiko bagi individu tersebut dan individu tersebut membuat keputusan ‘informed consent’ iaitu berdasarkan pemahaman tentang risiko dan faedah, serta secara peribadi meminta vaksin COVID-19 AstraZeneca.