PARIS, 16 JAN – Peserta Rusia, Kamila Valieva, baru berusia 15 tahun, melakar statusnya sebagai pilihan pingat emas Sukan Olimpik kelmarin apabila dia merangkul kejuaraan Eropah di Tallinn.
Valieva, penampilan pertamanya di pentas senior, berjaya meraih podium dengan pungutan 259.06 mata dan cukup untuk mengalahkan juara dunia, Anna Shcherbakova (237.42) dan Alexandra Trusova (234.36).
Rusia juga merangkul gelaran bagi acara lelaki, beregu dan tarian atas ais dengan persembahan yang menakjubkan kurang daripada tiga minggu sebelum Olimpik musim sejuk di Beijing pada 4 Februari nanti.
“Saya merasa bahagia, banyak emosi yang tidak dapat saya tunjukkan dengan perkataan,” kata Valieva yang meluncur untuk ‘Bolero’.
“Pingat tersebut menunjukkan saya tidak hanya datang berlatih untuk sesuatu yang sia-sia dan saya berfikir perkara paling penting untuk diri saya ialah tidak menyerah kalah selepas musim ini, untuk sentiasa tenang sebaik mungkin dan mencuba untuk membahagiakan penonton dengan persembahan saya.”
“Saya tidak tahu apa yang akan terjadi esok, saya hidup pada hari ini tetapi sangat gembira dengan prestasi saya hari ini di Kejohanan Eropah, adalah satu impian dari kecil.”
Dalam program singkat pada Khamis lalu, Valieva telah mencatat satu rekod dunia baharu dengan 90.45 mata selepas persembahan yang menakjubkan dalam ‘In Memoriam’.
Ia menewaskan rekod dunia terbaiknya sebelum ini iaitu 87.42 di Grand Prix Rusia November lalu. – AFP