VAM BRN tekankan isu kesihatan mental

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Dengan matlamat untuk memberikan pendedahan mengenai kesihatan mental dan maklumat mendapatkan pertolongan jika diperlukan, Syarikat VAM BRN Sdn Bhd telah mengadakan acara Kesedaran Kesihatan Mental bagi kakitangannya dengan kerjasama Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan.

Acara dua hari yang diadakan di Premis VAM BRN Sdn Bhd di Taman Perindustrian Salambigar itu dihadiri oleh seramai 92 orang kakitangan dan merupakan kali ke-4 diadakan oleh syarikat tersebut yang turut dihadiri oleh Pengarah Urusan VAM BRN, Hiroyuki Hatanaka.

Hiroyuki Hatanaka ketika ditemui wartawan Media Permata mengatakan, di Jepun, isu mengenai kesihatan mental merupakan salah satu isu yang amat penting oleh itu, adalah amat mustahak bagi kakitangan syarikat untuk mengenali tanda-tanda serta simptom kesihatan mental serta mengetahui bila dan di mana mereka boleh mendapatkan bantuan jika memerlukan.

Ia juga memaparkan poster-poster Kesedaran Kesihatan Mental dan maklumat mengenai Perkhidmatan Psikiatri serta talian bantuan kesihatan mental kebangsaan iaitu Talian Harapan 145.

Acara juga diisi dengan sesi taklimat kesihatan mental yang disampaikan oleh pegawai-pegawai dari Pusat Promosi Kesihatan, Dr Alia Shazli dan Dr Hassanah Hasan serta diakhiri dengan sesi soal dan jawab daripada kakitangan VAM BRN.

Pegawai-pegawai dari Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan yang mengendalikan sesi ceramah mengenai kesihatan mental, kelmarin.
Kakitangan VAM BRN Sdn Bhd yang menghadiri sesi ceramah mengenai kesihatan mental yang dikendalikan oleh pegawai-pegawai dari Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, kelmarin.