Van Dijk hero Belanda

GELSENKIRCHEN, Jerman, 20 Nov – Virgil van Dijk muncul sebagai hero Belanda selepas berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-91, sekali gus melayakkan pasukannya ke separuh akhir Liga Negara-Negara Eropah, selepas meraih keputusan dramatik 2-2 menentang Jerman, awal pagi tadi.

Belanda mengatasi kelebihan dimiliki juara dunia, Perancis di carta kumpulan selepas meledak dua jaringan dalam tempoh enam minit di Gelsenkirchen yang menyaksikan Jerman dihukum pada babak kedua perlawanan.

Pemain pertahanan Liverpool, Van Dijk melengkapkan kebangkitan Belanda selepas Quincy Promes menjaringkan gol pertama pada minit ke-85, untuk memadam kelebihan jaringan Timo Werner dan Leroy Sane di babak pertama.

Mata yang diraih di Gelsenkirchen itu sudah cukup untuk membolehkan Belanda layak ke separuh akhir selaku juara Kumpulan Satu, diikuti oleh Perancis di tangga kedua. Sementara Jerman pula disahkan tersingkir di Liga B.

Skuad bimbingan Ronald Koeman ini menunjukkan semangat juang tinggi dan tidak pernah mengalah walaupun ketinggalan dua gol seawal 20 minit pertama perlawanan.

Trio serangan pasukan kendalian Joachim Loew iaitu Serge Gnabry, Sane dan Werner, cukup berbisa ketika menumbangkan Russia 3-0 pada aksi persahabatan Khamis lalu, dan membuatkan pertahanan Belanda sentiasa bekerja keras sepanjang 45 minit pertama. Werner menunjukkan ketajamannya di bahagian serangan apabila dia membuat tendangan cantik ke arah sisi penjuru gawang dan menewaskan Jasper Cillessen.

Sepuluh minit selepas itu, Sane pula menambahkan jaringan selepas hantaran lintang Toni Kroos dapat disempurnakannya ketika ledakannya terkena pemain pertahanan Belanda sebelum masuk ke gawang.

Pada separuh masa kedua, Belanda berjaya merapatkan kedudukan ketika tendangan cantik Promes menewaskan penjaga gol Belanda pada minit ke-85.

Bagaimanapun, penonton tuan rumah tergamam apabila Van Dijk berjaya melengkapkan kebangkitan Belanda selepas mencetak gol untuk mengikat Jerman 2-2 sebelum wisel penamat dibunyikan. – AFP

Van Dijk (kiri) merebut bola dengan Thomas Mueller semasa perlawanan antara Belanda dengan Jerman di Gelsenkirchen. – AFP