Van Dijk muncul johan ujian masa kali kedua

BRUGES, BELGIUM, 21 SEPT – Juara basikal acara lebuh raya Eropah, Ellen van Dijk dari Belanda muncul juara ujian masa buat kali kedua di kejohanan dunia semalam selepas berjaya mengatasi cabaran Marlen Reusser dan Annemiek van Vleuten.

Van Dijk yang berusia 34 tahun melakukan catatan 10 saat lebih pantas berbanding jaguh Switzerland, Reusser yang meraih pingat perak di Sukan Olimpik pada Julai lalu dan 24 saat mengatasi pelumba senegara, Van Vleuten yang menjuarai acara itu di Tokyo.

Van Dijk turun ke lebuh raya lebih daripada satu jam sebelum saingan utamanya tiba dan menunggu dengan rasa ‘gementar’.

“Saya tak jangka sangat emosi tetapi sudah sekian lama saya menunggu untuk mendapatkan semula gelaran dunia ini,” katanya yang mengalirkan air mata sambil meletakkan tangan di dada.

“Marlen sangat kuat dan lebih pantas daripada saya pada mulanya tetapi apabila dia kehilangan masa menuju garisan penamat, sukar saya percaya. Ia pengakhiran yang saya impikan sekian lama.’’

Van Dijk kali terakhir menjuarai gelaran dunia pada 2013 di Florence dan semalam dia menguasai laluan mendatar sejauh 30.3km dalam masa 36 minit 05 saat dengan purata kelajuan 50.383km sejam.

Selain itu pelumba baharu, Asma Jan Pakistan berada di barisan terakhir sekitar 15 minit ketinggalan.

Perlumbaan bersambung hari ini dengan acara ujian masa junior lelaki dan wanita yang turut berlangsung di Bruges. – AFP

Pelumba basikal dari Belanda, Ellen Van Dijk semasa meraikan kemenangannya di podium selepas perlumbaan ujian masa individu wanita di Kejohanan Berbasikal Dunia di Bruges, Belgium, semalam. – AP