THE HAGUE, 4 OGOS – Louis van Gaal akan kembali buat kali ketiga sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, mengendalikan pasukan ke Piala Dunia 2022 di Qatar, Persekutuan Bola sepak Belanda (KNVB) mengumumkan hari ini.
Pelantikan jurulatih berusia 69 tahun itu, diberi gelaran ‘tulip besi’, dibuat selepas Frank de Boer meletak jawatan pada Jun setelah pasukan Belanda disingkirkan dari Euro 2020 peringkat 16 terakhir. Van Gaal, yang kali terakhir mengalas tugasan di Manchester United, sebelum ini mengendalikan The Oranje antara tahun 2000 hingga 2002 dan 2012 hingga 2014, apabila mereka menamatkan kedudukan ketiga di Piala Dunia di Brazil.
“Bola sepak Belanda sentiasa dekat di hati saya dan menjadi jurulatih pasukan kebangsaan bagi saya adalah penting untuk meneruskan perkembangan bola sepak kami. Selain itu, saya menganggap ia adalah satu penghargaan untuk melatih pasukan kebangsaan Belanda,” Van Gaal berkata dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh KNVB.
“Tidak banyak masa untuk perlawanan kelayakan seterusnya, yang sangat penting untuk penyertaan di Piala Dunia. Fokus kami adalah 100 peratus terhadap pemain dan langkah yang kami ambil. Oleh sebab itu saya dilantik.”
Kakitangan teknikalnya terdiri daripada Danny Blind dan Henk Fraser dan jurulatih penjaga gol ialah Frans Hoek, menurut KNVB. Persatuan Belanda berkata mereka telah mencari jurulatih yang mempunyai ‘kualiti luar biasa’ untuk mengubah nasib pasukan dengan ‘tempoh persiapan yang pendek’ untuk Piala Dunia. – AFP
