Van hangus dijilat api

Oleh Sim Y.H.
Gambar serahan JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Sebuah van tinggal rangka setelah dijilat api dalam kejadian kebakaran yang berlaku di kawasan letak kereta Pejabat Pos Mumong, Kuala Belait, hari ini.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), sembilan orang anggota dari Balai Bomba Kuala Belait yang diketuai oleh Penolong Pegawai Balai, Hussin bin Harun telah dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 11:36 pagi.

Kenyataan menyatakan, api besar telah membakar keseluruhan van berwarna putih berkenaan dan anggota bomba diarahkan memakai alat pernafasan (B.A) bagi bertindak memadam kebakaran menggunakan satu hos jet dan sumber air yang diperoleh dari jentera bomba dengan api dapat dipadamkan dalam masa 10 minit.

Menurut JBP, pemilik kenderaan itu merupakan warganegara tempatan dan tiada mangsa dilaporkan semasa kejadian. 

Sehubungan itu, JBP menyarankan orang ramai untuk sentiasa memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat secara keseluruhan sebelum digunakan seperti memastikan tiada sebarang kebocoran yang boleh menyebabkan pengaliran cecair mudah terbakar pada blok enjin yang panas atau sistem elektrik.

JBP juga mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan mana-mana pengubahsuaian atau penambahan sistem elektrik enjin dan aksesori kereta serta pendawaian hendaklah mengikut piawaian yang betul oleh mekanik yang bertauliah kerana arus elektrik kenderaan yang tinggi boleh menyebabkan kabel terbakar dan kebakaran.

Anggota bomba dan penyelamat semasa memeriksa sebuah van yang rentung dijilat api dalam kejadian kebakaran yang berlaku di kawasan letak kereta Pejabat Pos Mumong, Kuala Belait. – Gambar serahan JBP
Kelihatan api marak telah membakar keseluruhan van berwarna putih tersebut.