Van meletup ragut 7 jiwa

KABUL, 13 NOV – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dan 10 cedera, termasuk empat warga asing, apabila sebuah van mini sarat dengan bom meletup ketika waktu sibuk pada waktu pagi di Kabul hari ini, kata jurucakap kementerian dalam negeri.

Jurucakap itu, Nasrat Rahimi, berkata bom tersebut, menyasarkan sebuah kenderaan SUV milik syarikat keselamatan swasta Kanada, GardaWorld, telah meletup di satu kawasan berhampiran kementerian dalam negeri dan utara Lapangan Terbang Kabul.

“Akibatnya, tujuh orang kami terbunuh dan 10, termasuk empat warga asing syarikat keselamatan cedera,” kata beliau, menggambarkan mangsa terkorban sebagai orang awam Afghan.

Beliau tidak mengesahkan kerakyatan warga asing yang terbabit. Menteri Dalam Negeri Massoud Andarabi berkata salah seorang yang terbunuh adalah remaja berusia 13 tahun yang sedang dalam perjalanan ke sekolah.

Sumber di kementerian dalam negeri berkata letupan dilakukan oleh pengebom nekad dalam kenderaan, yang dikatakan oleh pegawai sebelumnya sebagai sebuah kereta.

Tidak ada sesiapa yang mengaku bertanggungjawab. Taliban dan kumpulan Islamic State (IS) adalah aktif di bandar itu, yang merupakan salah satu tempat paling teruk untuk orang awam dalam negara.

Letupan berlaku sehari selepas Presiden Afghan Ashraf Ghani mengumumkan Kabul akan membebaskan tiga tahanan Taliban dalam pertukaran tahanan dengan tebusan Barat yang diculik oleh pemberontak pada 2016. – AFP

Kakitangan keselamatan Afghan berkumpul di tapak serangan bom kereta di Kabul, Afghanistan, kelmarin. – AP