Friday, December 6, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Van Nistelrooy belum berhubung dengan Amorim

    LONDON, 7 NOV- Bos sementara Manchester United, Ruud van Nistelrooy berkata dia masih belum bercakap dengan pengurus baharu Ruben Amorim mengenai masa depannya di kelab itu ketika dia berusaha untuk memulakan kempen Liga Europa.

    Van Nistelrooy, diletakkan di bawah kendalian sementara di Old Trafford selepas Erik ten Hag dipecat minggu lalu, dan telah memperoleh dua kemenangan menentang Leicester dan Chelsea.

    United, yang menentang pasukan Greece PAOK esok, bagaimanapun telah bermula hambar di Eropah apabila ketiga-tiga perlawanan mereka setakat ini.

    Van Nistelrooy ditanya kelmarin sama ada dia telah bercakap dengan pengurus Sporting, Amorim, yang beroleh kemenangan 4-1 bertemu Manchester City Selasa lepas.

    “Tidak, saya tidak berhubung dengannya setakat ini, tiada perubahan,” katanya sambil menambah dia tidak tahu bila dia akan bercakap dengan pengurus dari Portugal itu, yang akan mengambil alih tugas di United pada 11 November.

    Pemain Belanda itu sebelum ini menyatakan hasrat untuk kekal di Old Trafford tetapi dia berkata dia tidak pasti tentang masa depannya sendiri.

    “Sukar untuk mengulas mengenai perkara itu sekarang, saya sedang menunggu perbincangan,” katanya pada sidang media pra-perlawanannya.

    “Dalam pada itu, jelas ada satu perkara yang paling penting untuk kelab bola sepak ini sekarang, iaitu menyiapkan kerja setiap hari dan dalam perlawanan yang akan datang esok di Eropah.

    “Ia adalah malam Eropah di Old Trafford menentang juara Greece itu, dengan kedudukan kedua dalam liga ketika ini. Sejujurnya saya perlu mengatakan bahawa saya rasa bertanggungjawab untuk bermain dengan baik pada minggu depan dan itu adalah tugas saya. Saya fokus pada itu.

    Saya mengalu-alukan Ruben, saya gembira dapat membantunya dan itulah keadaan buat masa ini,” ujarnya.

    Sementara itu, pemain pertahanan, Leny Yoro menyertai latihan pasukan kelmarin buat kali pertama dalam tempoh tiga bulan ketika dia beransur pulih kecederaan kakinya.

    Pemain berusia 18 tahun itu belum membuat penampilan setelah menyertai United dari Lille sejak Julai dengan bayaran yang boleh meningkat kepada 70 juta euro tetapi dia mengalami kecederaan dan memerlukan pembedahan.

    “Dia telah diuruskan dengan sangat baik selepas kecederaan pada pramusim, jelas sekali ia akan menjadi masa yang panjang dan ia adalah detik yang besar untuknya,” kata Van Nistelrooy. – AFP

    Ruud van Nistelrooy semasa menghadiri sesi latihan pasukan bola sepak Manchester United di Carrington, England kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda