Wednesday, October 9, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vandalisme ganggu talian komunikasi Perancis tetapi Sukan Olimpik tidak terjejas

    PARIS, 30 JULAI – Kerajaan Perancis sedang menyiasat selepas beberapa talian telekomunikasi dilanda tindakan vandalisme kelmarin menjejaskan talian gentian dan talian telefon tetap dan mudah alih ketika bandar di sekitar Perancis menganjurkan acara untuk Sukan Olimpik Paris 2024.

    Namun, penganjur Olimpik berkata operasi mereka tidak terjejas. Syarikat telekomunikasi kedua terbesar di Perancis berkata ia telah pun membaik pulih di beberapa kawasan atau penyelesaiannya berjaya mengekalkan skala impak yang rendah. Beberapa pembekal lain juga telah berjaya menyediakan semula dan beroperasi seperti biasa kelmarin.

    Vandalisme itu berlaku selepas serangan pembakaran melanda rangkaian kereta api di sekitar Perancis pada Jumaat, beberapa jam sebelum upacara pembukaan Sukan Olimpik.

    Siasatan kebangsaan telah dilancarkan ke atas serangan ke atas kabel optik dan ‘kerosakan pada sistem telekomunikasi’, menurut pendakwa raya Paris. Jenayah yang disiasiat termasuk merosakkan harta benda dengan niat untuk membahayakan kepentingan negara dan menyerang sistem pemprosesan data oleh kumpulan terurus yang boleh dipenjara 10 hingga 15 tahun, kata pendakwa.

    Marina Ferrari, setiausaha negara yang bertanggungjawab bagi hal ehwal digital, menyiarkan pada laman X bahawa kerosakan di beberapa wilayah semalaman Ahad hingga Isnin menjejaskan pengendali telekomunikasi. Beliau berkata kerosakan itu membawa kepada kesan tempatan terhadap akses kepada talian gentian dan talian telefon tetap dan mudah alih.

    Seorang pegawai polis Perancis berkata terdapat isu di sekurang-kurangnya enam jabatan pentadbiran negara itu, termasuk wilayah sekitar bandar Mediterranean Marseille, tempat menganjurkan pertandingan bola sepak Olimpik dan sukan pelayaran.

    Penganjur Paris 2024 berkata mereka telah dimaklumkan tentang tindakan sabotaj pada rangkaian gentian optik di beberapa jabatan Perancis tetapi, “kami hanya boleh mengesahkan bahawa tiada kesan ke atas operasi kami.”

    SFR, sebuah syarikat telekomunikasi kedua terbesar di Perancis berkata rangkaian jarak jauhnya ‘menjadi sasaran perbuatan vandalisme di lima kawasan di lima jabatan antara jam 1 pagi dan jam 3 pagi.’

    “Pasukan penyelenggaraan berada di tapak untuk menjalankan kerja pembaikan,” kata SFR dalam satu kenyataan. Ia menambah bahawa kesan tindakan vandalisme terhadap pelanggannya adalah “sangat rendah kerana terdapat sandaran dan penyelesaian yang mencukupi.”

    Sehingga lapan pengendali Perancis dan antarabangsa, yang menggunakan infrastruktur SFR, telah terjejas, kata syarikat itu, sambil menambah bahawa perkhidmatan penuh telah dipulihkan menjelang petang kelmarin di beberapa kawasan.

    Pengendali telekomunikasi Bouygues dan Free mengesahkan mereka terjejas. Free kemudiannya berkata perkhidmatan telah dipulihkan selepas “insiden yang menjejaskan pelbagai rangkaian di 11 jabatan.” – AP

    Polis sedang berkawal dalam stesen kereta api Gare du Nord pada 26 Julai, di Paris. Talian telekomunikasi telah dilanda tindakan vandalisme dan mengganggu Olimpik Paris. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda