Selepas kejayaan memukau hati mentor di program Sing! China 2023, Vanessa Reynauld muncul dengan single baharu berjudul Igau ciptaan penyanyi dan pengubah lagu iaitu Naqiu.
Menurut Vanessa, 23, lagu ciptaan Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Mohd Najib, 37, mempunyai keunikan dan keistimewaan buat dirinya.
Ia dicipta khas dengan mengambil kira aspek kesesuaian vokal Vanessa yang sangat unik dan luar biasa.
“Saya sangat teruja melancarkan lagu ini apabila mendapat tahu ia dicipta khas untuk saya.
“Sebelum ini juga saya dan Naqiu pernah bekerjasama menerusi lagu Rindu Separuh Nyawa.

“Naqiu merasakan saya mampu menyampaikan lagu yang ‘power vocal’ dan dia benar-benar menstrukturkan lagu ini mengikut kesesuaian suara saya,” katanya.
Igau mengisahkan tentang seorang wanita yang mendambakan pasangan yang mampu memberikan kasih sayang dan kebahagiaan buat selamanya.
Kata Vanessa, konsep lagu ini masih mengetengahkan genre balada rock dan kisah cinta.
“Saya sangat teruja dengan konsep kali ini kerana ia menekankan elemen lagu cinta dan jiwang..saya yakin genre lagu seperti ini sangat dekat dengan cita rasa pendengar.
“Bagi yang masih bujang atau belum pernah bercinta, lagu ini sesuai untuk mereka dan saya sendiri sebelum ini tidak pernah mempunyai pasangan bercinta,” ujarnya. – Agensi