VAR penyelamat Spurs

LONDON, 18 OGOS – Manchester City terpaksa berpuas hati terikat seri 2-2 menentang Tottenham selepas juara Liga Perdana itu dinafikan kemenangan dramatik oleh VAR awal pagi tadi.

Skuad Pep Guardiola gagal untuk menang buat pertama kali dalam 16 perlawanan Liga Perdana sejak musim lepas susulan penghujung kontroversi di Stadium Etihad.

City fikir mereka telah meraih tiga mata apabila Gabriel Jesus meledakkan gol dalam masa kecederaan, namun keraian mereka terhenti selepas ulang tayang VAR menunjukkan bola terkena tangan Aymeric Laporte sebelum disambut oleh Gabriel.

City berada di depan pada minit ke-20, menyaksikan hantaran lintang Kevin De Bruyne ditanduk masuk oleh Sterling untuk gol keempatnya musim ini. Tetapi Tottenham kembali menyamakan kedudukan apabila Erik Lamela menewaskan penjaga gol City, Ederson, dari luar petak penalti.

City kembali di depan pada minit ke-35 menerusi gol jarak dekat Sergio Aguero selepas menerima hantaran leret daripada De Bruyne.

Bagaimanapun, kurang daripada 20 saat di atas padang, penyerang Brazil, Lucas Moura melompat tinggi untuk menanduk masuk hantaran lintang Lamela bagi menjadikan kedudukan 2-2. – AFP

Gabriel Jesus (kiri) menjaringkan gol yang kemudian dibatalkan oleh VAR ketika menentang Spurs di Stadium Etihad. Perlawanan berkesudahan seri 2-2. – AP