MANCHESTER, 13 OKT – Raphael Varane akan terlepas beraksi untuk Manchester United selepas disahkan akan disisihkan selama ‘beberapa minggu’ hari ini disebabkan mengalami kecederaan.
Pemain pertahanan itu, yang ditandatangani dari Real Madrid pada hujung musim lalu, tercedera semasa kemenangan 2-1 pasukan kebangsaan Perancis ke atas Sepanyol di pertemuan final Liga Negara-Negara Eropah, Ahad lalu.
United mengumumkan Varane ‘memulakan program pemulihan bersama kelab’ dan ‘akan diketepikan selama beberapa minggu’.
Pemain pertahanan England, Harry Maguire turut mengalami masalah kecederaan, dan ketiadaan Varane bersama United akan membuatkan pengurus kelab, Ole Gunnar Solskjaer tanpa dua pemain pertahanan utamanya.
Selepas kunjungan ke Leicester di Liga Perdana Inggeris pada Ahad ini, United akan bertemu Atalanta di laman sendiri dalam pertemuan Liga Juara-Juara sebelum menentang Liverpool dan Tottenham pada bulan ini. United kemudian akan membuat perjalanan ke Atalanta untuk perlawanan timbal balik di Liga Juara-Juara. – AP