Vardy wira The Foxes ikat Gunners

LONDON, 8 JULAI – Jamie Vardy sekali lagi menjadi wira apabila jaringannya berjaya menyelamatkan Leicester dalam merebut tempat di Liga Juara-Juara musim depan setelah meraih keputusan seri 1-1 menentang Arsenal pada perlawanan semalam.

Jaringan awal Pierre-Emerick Aubameyang memberi peluang kepada Gunners untuk mendahului perlawanan pada separuh masa pertama perlawanan, tetapi Arsenal terpaksa bermain dengan 10 orang pada 15 minit terakhir perlawanan ketika pemain gantian mereka, Eddie Nketiah dilayangkan kad merah melalui tinjauan VAR.

Leicester memanfaatkan kelebihan itu ketika Vardy melakukan percubaan menjaringkan gol melalui hantaran lintang Demarai Gray, tetapi jaringan itu dibatalkan VAR kerana ofsaid.

Leicester kini hanya menang sekali dalam enam perlawanan mereka sejak EPL kembali semula musim ini dan turun ke tangga keempat setelah Chelsea menang 3-2 di Crystal Palace semalam.

Manchester United dapat merapatkan kedudukan satu mata dengan Foxes jika mereka menang menentang Aston Villa pada perlawanan Khamis ini.

Peluang Arsenal untuk berada di kedudukan empat teratas kelihatan semakin sukar apabila mereka kekal sembilan mata di tangga ketujuh.

Tetapi setelah permulaan yang buruk sejak EPL kembali semula dengan kekalahan berturut-turut di Manchester City dan Brighton, Mikel Arteta berjaya membawa pasukannya kembali bangkit.

Beberapa saat selepas Lacazette digantikan oleh Eddie Nketiah, The Gunners terpaksa bermain dengan 10 pemain setelah beliau dilayangkan kad merah oleh pengadil Chris Kavanagh yang melihat kembali di skrin VAR untuk meninjau kejadian itu.

Rodgers segera menurunkan pemain penyerang dengan menurunkan Gray. Vardy kini mendapatkan kembali kedudukannya sebagai penjaring terbanyak liga setakat ini dengan kelebihan dua gol berbanding Aubameyang dalam perlumbaan mendapatkan trofi kasut emas. – AFP

Aksi Jamie Vardy semasa menjaringkan gol buat pasukannya semasa perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Arsenal dan Leicester di Stadium Emirates, London, semalam. – AFP