Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI – Sub varian baharu BA.2.75 yang telah dikesan di beberapa buah negara adalah sama dengan sub varian
Omicron yang lain seperti BA.2, BA.4 dan BA.5 iaitu ia mudah berjangkit namun tidak teruk.
Buat masa ini sub varian tersebut sedang dipantau oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan ketika ini mengkategorikannya variant of interest dan bukan variant of
concern.
Perkara ini dijelaskan oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Dr Ang Swee Hui semasa menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh media pada Sidang Media Situasi Terkini COVID-19 di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Pada sidang media itu, beliau turut menjelaskan mengenai ujian pantas antigen (ART) yang dibuat oleh pesakit COVID selepas 10 hari masih lagi menunjukkan keputusan positif, mereka disarankan untuk tidak lagi membuat ART selepas 10 hari dijangkiti mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan.
“Ini kerana pesakit itu tidak lagi menjangkiti tapi jika ia menunjukkan gejala seperti sesak nafas atau sakit jantung selepas 10 hari dijangkiti, mereka dinasihatkan untuk berjumpa doktor supaya dapat diperiksa semula,” jelasnya.