DOVER, UNITED KINGDOM, 24 DIS – Ribuan trak terpaksa melalui malam Krismas dengan terkandas dekat pelabuhan utama Britain, terperangkap dalam kehuru-haraan disebabkan varian koronavirus baharu, ketika negara-negara Barat mempercepatkan vaksinasi besar-besaran.
China hari ini menjadi negara terbaharu menangguhkan penerbangan ke dan dari UK untuk membendung virus baharu yang para pegawai Britain percaya menular lebih cepat.
Kira-kira ribuan pemandu lori terkandas dekat pelabuhan Dover, Britain berkata mereka bimbang adanya sedikit peluang untuk menyeberangi Channel semasa musim cuti ini.
“Balik Krismas? Lupakan saja,” kata Laurent Beghin, seorang pemandu Perancis yang menghantar kargo cat pada Ahad namun masih terkandas di England. Britain hari ini berkata laluan kereta api dan laut bersama Perancis akan kekal dibuka semasa Krismas untuk menyelesaikan tunggakan.
“Ketika ujian di Kent masih diteruskan…Saya bercakap dengan rakan sejawatan Perancis dan kami bersetuju sempadan-sempadan akan dibuka sepanjang Xmas untuk membantu penduduk pulang ke rumah secepat mungkin,” kata menteri pengangkutan UK, Grant Shapps dalam Twitter.
Para penumpang yang diuji negatif virus itu pada Rabu, menaiki kereta api pertama Eurostar dari London ke Perancis sejak penutupan sempadan diperkenalkan pada Ahad.
Varian baharu virus yang muncul di Britain dan juga telah dikesan dalam jumlah kecil di mana-mana, muncul dengan pantas namun pakar berkata belum ada bukti ia lebih maut atau kebal kepada vaksin. Britain kelmarin memperkenalkan sekatan baharu perjalanan dari Afrika Selatan, lokasi varian baharu virus ditemui. – AFP






























