JOHANNESBURG, 25 DIS – Kementerian Kesihatan Afrika Selatan menolak dakwaan Britain bahawa varian baharu koronavirus di negara itu lebih mudah berjangkit atau berbahaya berbandingan virus yang sama merebak di United Kingdom (UK).
“Ketika ini, tiada bukti menunjukkan 501.V2 (varian) itu lebih mudah menjangkit berbanding dengan varian UK – seperti yang didakwa oleh Setiausaha Kesihatan Britain,” Zwelimi Mkhize berkata dalam kenyataan yang diterbitkan lewat kelmarin.
“Juga, tiada sebarang bukti ia boleh menyebabkan penyakit lebih teruk atau meningkatkan kadar kematian berbanding varian UK atau mana-mana varian yang dijumpai di seluruh dunia.”
Mengumumkan sekatan perjalanan dari Afrika Selatan pada Rabu, Matt Hancock berkata bahawa varian itu ‘memberi kebimbangan yang tinggi kerana ia masih belum diketahui sama ada ia mudah menjangkit dan dilihat termutasi lebih lagi’ berbanding varian yang ada di Britain.
Ucapan oleh menteri Britain ‘telah membuatkan persepsi bahawa varian di Afrika Selatan menjadi faktor utama bagi gelombang kedua di UK,” kata Mkhize. “Itu tidak benar,” tambahnya.
Dia merujuk kepada bukti bahawa varian Britain, yang mempunyai mutasi sama dengan Afrika Selatan, dilihat muncul pada September di kawasan tenggara England, Kent – ‘kira-kira satu bulan sebelum varian Afrika Selatan dilihat mula berkembang’.
Memetik ‘pandangan meluas yang dikongsikan oleh komuniti saintifik,’ Mkhize turut mendakwa bahawa ‘risiko penggantungan perjalanan tidak memberi manfaat’.
“Menggantungkan perjalanan antara UK dan Afrika Selatan adalah keputusan yang tidak memberi manfaat,” tambahnya.
Afrika Selatan adalah negara yang paling teruk terjejas oleh koronavirus di benua itu, hampir satu juta jangkitan setakat ini dan 26,000 kematian. – AFP






























