SAMSUNG telah memperkenalkan varian lite bagi Galaxy S8, tetapi tidak diberi nama Galaxy S8 Mini atau Galaxy S8 Lite seperti yang dikhabarkan, sebaliknya syarikat Korea Selatan itu menggelarnya model Galaxy S Light Luxury.
Berdasarkan spesifikasinya, Galaxy S Light Luxury yang didedahkan di China awal minggu ini adalah varian murah Galaxy S8 yang popular. Bagaimanapun, ia masih mengekalkan rekaan sama, termasuk punat Bixby dan pengimbas cap jari.
Galaxy S Light Luxury telah disenaraikan pada laman sesawang syarikat berkenaan di China.
Ciri utama versi ini adalah ia didatangkan dengan nisbah bidang 18.5:9. Sementara tidak mempunyai SoC Qualcomm Snapdragon 835, ia didatangkan dengan Snapdragon 660. Telefon pintar ini juga kalis air, mempunyai Samsung Pay, pengecasan pantas, Face Unlock dan pengimbas iris, selain itu, ia juga menggunakan Android Oreo.
Secara terperinci, peranti dual-SIM ini didatangkan dengan Android Oreo 8.0 dan menampilkan paparan Infinity Display full-HD+ (1080×2220 piksel) 5.8 inci. Ia dikuasakan pemproses empat teras berkelajuan sehingga 2.2GHz, kemungkinan menggunakan SoC Qualcomm Snapdragon 660 dan dipadankan dengan RAM 4GB.
Daripada segi optiknya, Samsung Galaxy S Light Luxury dilengkapi kamera belakang 16MP dengan apertur f/1.7 dan autofokus, manakala itu di depan terdapat sensor 8MP. Kamera belakang juga mampu merakam gambar pada UHD 4K.
Peranti ini didatangkan dengan storan dalaman 64GB yang boleh ditambah menerusi kad mikroSD (sehingga 400GB) dalam konfigurasi dual-SIM hibrid.
Pilihan sambungannya termasuk 4G, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, GPS, NFC, Bluetooth v5.0, USB Type-C dan jek audio 3.5mm. Sensor-sensornya pula termasuk akselerometer, barometer, sensor cap jari, giroskop, sensor geomagnetik, sensor iris, sensor cahaya RGB, sensor kedekatan dan banyak lagi.
Peranti berukuran 148.9×68.1x8mm dan berat 150g ini dikuasakan bateri 3000mAh.