Varian Nigeria tidak jejas upaya kesan jangkitan

KUALA LUMPUR, 7 MAC – Varian Nigeria B1.525 daripada COVID-19 mempunyai mutasi penting dalam spike protein, tetapi ia tidak menjejaskan keupayaan untuk mengesan atau menjejaki seseorang yang dijangkiti varian itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ini kerana kit tindak balas Polymerase Chain Reaction (PCR) yang sedia ada menggunakan pelbagai sasaran untuk mengesan varian walaupun seseorang itu tidak bergejala.

“Pada masa ini, tidak ada data yang menunjukkan varian itu lebih virulensia atau menyebabkan peningkatan kematian,” katanya mengulas pertanyaan media semalam, berhubung Varian Nigeria B1.525.

Berdasarkan laporan kajian makmal, Dr Noor Hisham berkata mutasi E484K yang juga dilihat pada varian lain, termasuk Afrika Selatan (B.1.351) dan Brazil (P.1), telah dikaitkan dengan beberapa tahap ketahanan untuk meneutralkan antibodi yang diperlukan bagi memberi perlindungan.

Ketahanan itu bermakna ada kemungkinan penurunan dalam keberkesanan imuniti semula jadi atau imuniti yang berasal daripada vaksin terhadap mutasi ini, tambahnya.

“Mutasi D614G menyebabkan peningkatan penularan kerana keadaan yang menggalakkan untuk virus menjangkiti sel yang dibenarkan dan menduplikasi.

“Mutasi lain yang disebut Q677H juga berkaitan dengan kemungkinan peningkatan penularan disebabkan penggabungan virus yang efisien terhadap reseptor sel manusia,” katanya. – Bernama