Varian Omicron masih diselidik

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Varian Omicron masih dalam penilaian dan penyelidikan di mana masih banyak soalan yang belum dapat dijawab terutama dari segi vaksinasi sama ada vaksin pada masa ini dapat melindunginya atau keberkesanan vaksinasi tersebut berkurangan.

“Apa yang kita ketahui, varian ini bermutasi lebih banyak daripada yang sebelum ini tapi apa yang penting ia masih dapat dikesan melalui PCR,” ujar Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar.

Untuk memastikan sama ada ia menyebabkan penularan yang lebih cepat atau memberi gejala yang lebih teruk, itu belum dapat dipastikan, tambah beliau semasa menjawab persoalan media semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Mengulas mengenai keberkesanan pil Molnupiravir, beliau menjelaskan bahawa jika dilihat dapatan awal, ia menjelaskan lebih kurang 50 peratus keberkesanan tapi ini dilihat dari segi populasi yang dikaji pada waktu itu yang mana kajian dibuat untuk pesakit COVID-19 dalam kategori 2 dan 3 saja. Katanya lagi, hasil dapatan yang dikongsikan pada masa ini telah mendapati bahawa jumlah tersebut telah dicampur untuk semua, daripada kategori 1 hingga 5.

“Ini menunjukkan keberkesanannya berkurangan dan apa yang penting, boleh diambil kesimpulannya, Molnupiravir ini hanya sesuai untuk kategori 2 dan 3 saja,” jelas beliau.

Manakala itu, tambahnya, untuk kategori 1 yang tidak ada gejala tidak perlu melakukannya kerana ia tidak akan memberi impak keberkesanan pil berkenaan, tapi untuk Brunei, pihak jawatankuasa masih lagi memantau keadaan dan ia masih penting dalam pengawalan.

Yang Berhormat Dato turut menjelaskan mengenai pil Pfizer di mana hasil kajian telah mendapati keberkesanannya yang mana ia boleh digunakan daripada kategori 1 hingga 5, tapi cara ubat berkenaan melawan virus tersebut berbeza daripada sebelum ini.

Kedua-dua ini, jelas beliau, ada keperluan sebab ia menyerang virus itu dalam titik yang berbeza terutama sekali Pfizer yang boleh digunakan untuk kontak di mana jika diberikan ubat ini kepada kontak selama lima hari, kontak itu tidak akan dijangkiti.

“Dapatan seperti ini sangat penting dan kedua-dua ubat ini sangat penting untuk kita melangkah ke Fasa Endemik dan Bahagian Teknikal di Kementerian Kesihatan sentiasa memantau apa juga dapatan daripada penyelidikan berterusan,” jelasnya lagi.