Varian virus Brazil dikesan di AS

WASHINGTON, 26 JAN – Kes pertama varian baharu COVID-19 dari Brazil disahkan di Amerika Syarikat (AS), kata pihak berkuasa kesihatan di negeri Minnesota, semalam.

Jabatan Kesihatan Minnesota dalam satu kenyataan memaklumkan, makmal Kesihatan Awam menemui varian virus SARS-CoV-2 yang dikenali sebagai varian Brazil P.1 dalam spesimen penduduk Minnesota dengan sejarah perjalanan ke Brazil baru-baru ini.

Pesakit itu, iaitu penduduk di Twin Cities di Minneapolis dan Saint Paul, diuji positif COVID-19 pada awal Januari dan dinasihatkan supaya mengasingkan diri, kata kenyataan itu.

Analisis makmal lebih lanjut menunjukkan kes itu adalah varian Brazil.

“Kes ini serta penemuan tiga kes varian baharu COVID-19 Britain di Minnesota dalam beberapa minggu terakhir menunjukkan betapa pentingnya untuk mengehadkan perjalanan sebanyak mungkin ketika pandemik,” kata ahli epidemiologi negara, Ruth Lynfield dalam penyataan.

Presiden Joe Biden semalam mengenakan semula larangan perjalanan ke atas bukan rakyat tempatan yang pernah mengunjungi Britain, Brazil, Ireland dan sebahagian besar Eropah.

Larangan itu juga membabitkan pelancong ke Afrika Selatan selepas muncul varian baharu COVID-19 di negara itu. – AFP

Seorang pekerja kesihatan mengeluarkan dos vaksin Oxford-AstraZeneca di pusat vaksinasi di Pusat Brighton. Kes pertama varian baharu COVID-19 dari Brazil disahkan di Amerika Syarikat. – AP