Varian virus UK dikesan di Beijing

BEIJING, 20 JAN – Seramai 1.6 juta penduduk telah ditegah daripada meninggalkan Beijing hari ini ketika dua kes COVID-19 berkaitan dengan varian virus baharu UK ditemui di bandar China.

China telah memuji responsnya kepada pandemik itu, yang muncul di bandar tengah Wuhan setahun yang lalu namun berjaya dikawal, yang meragut kurang dari 5,000 jiwa.

Pihak berkuasa segera bertindak membendung kes kluster tempatan dengan melaksanakan sekatan pergerakan, rejim ujian besar-besaran dan sekatan perjalanan.

Dengan Cuti Tahun Baharu Cina yang bakal menjelma, para pegawai giat untuk membendung penularan di Beijing, nadi kuasa politik.

Namun sejumlah kes telah dikesan di bandar itu baru-baru ini, dengan enam lagi dilaporkan hari ini di selatan daerah Daxing.

Seorang pekerja perubatan mengambil sampel calitan tekak daripada seorang kanak-kanak di pusat ujian COVID-19 di Daerah Daxing, Beijing, bandar China pada 20 Januari. – Xinhua

Para pegawai berkata dua kes di Daxing berkaitan dengan varian UK yang dipercayai jenis virus yang lebih mudah menular dan pertama kali dikesan pada Ahad.

Kes itu ‘tidak mempunyai hubung kait genetik dengan kes tempatan yang dilaporkan sebelumnya dan kes import di Beijing’, kata ketua penguat kuasa kesihatan Beijing, Pang Xinghuo memberitahu para wartawan, namun ‘menganggap ia varian-varian koronavirus baharu yang ditemui di UK’.

Semua 1.6 juta penduduk Daxing ditegah daripada meninggalkan Beijing kecuali mereka menerima kebenaran khas daripada pihak berkuasa dan diuji negatif COVID-19 dalam masa tiga hari lalu, menurut daerah.

Penduduk di lima kejiranan, di mana kes baru-baru ini dikesan telah diarahkan untuk berkurung dalam rumah.

Pertemuan seramai 50 orang atau lebih di daerah itu juga telah dilarang, sementara “majlis perkahwinan perlu ditangguhkan manakala acara pengebumian perlu diringkaskan,” kata kerajaan Daxing.

Ia juga mengarahkan semua pelajar kindergarten, rendah dan menengah di daerah itu untuk belajar dari rumah. – AFP