Variasi destinasi eksport bantu kurangkan impak PKP

KUALA LUMPUR, 23 JUN – Pelbagai produk dan destinasi eksport yang dimiliki Malaysia dijangka membantu ekonomi ini mengurangkan kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlanjutan sehingga akhir Jun, menurut Moody’s Investors Service hari ini.

Malaysia menguatkuasakan PKP buat kali ketiga mulai 1 Jun selepas kes COVID-19 harian mencecah 8,000. Dari dua minggu, ia dilanjutkan selama dua minggu lagi sehingga 28 Jun 2021.

Menurut agensi penarafan itu menerusi laporan terbaharunya, peningkatan semula kes pandemik serta kadar vaksinasi yang rendah di Asia Pasifik telah menimbulkan risiko baharu terhadap permintaan domestik walaupun pemulihan perdagangan global akan menyokong ekonomi yang lebih berorientasi eksport di rantau ini.

Penolong Naib Presiden dan Penganalisis Moody’s, Nishad Majmudar berkata sekatan pergerakan baharu untuk membendung penularan virus akan mengekang permintaan domestik dan menjejaskan keyakinan pengguna. – Bernama