Variasi drama melayu gamit hati penonton

Oleh Adiiwira

Pada ketika ini drama-drama Melayu semakin banyak disiarkan di pelbagai siaran televisyen untuk tontonan umum.

Sehinggakan baru-baru ini dikatakan dua buah drama Melayu hangat diperkatakan umum kerana jalan ceritanya yang mampu menarik perhatian. Di mana kedua-dua buah drama tersebut iaitu drama 7 Hari Mencintaiku 2 dan Jalan Sesat Ke Syurga.

Namun, drama 7 Hari Mencintaiku 2 sudah mengakhiri episodnya dan tidak tahu sama ada ia memiliki sambungannya yang ketiga atau tidak.

Manakala drama Jalan Sesat Ke Syurga lakonan gandingan Aaron Aziz dan Elizad Sharifuddin masih berjalan untuk menemani para penontonnya dan malah semakin banyak konflik yang ditimbulkan sehingga membuat para penontonnya ingin tahu lanjutan seterusnya.

Dalam masa yang sama, bukan hanya dua buah drama ini menjadi bualan hangat para penonton. Hal ini kerana masih banyak lagi drama-drama menarik untuk diikuti sebagaimana yang dikongsikan penulis pada ruangan lalu beberapa buah drama seperti Kebaya Kasut Kanvas, Perempuan Tanpa Dosa dan Pink Smile.

Pada ruangan minggu ini, penulis akan mengongsikan empat buah drama yang menarik yang bakal dan ketika ini disiarkan:

Antara babak di dalam drama Luka di Hati Diya. – Agensi
Antara barisan pelakon drama Ayat-ayat Halal. – Agensi
Drama Janda Kosmopolitan menemukan beberapa artis terkenal seperti Ziana Zain, Rozita Che Wan, Marissa Yasmin, Dato’ Ziela Jalil dan Liza. – Agensi

Ayat-Ayat Halal

Drama Ayat-ayat Halal merupakan sebuah drama yang diadaptasi dari sebuah novel yang menggunakan tajuk yang sama karya Syamnuriezmil yang bakal disiarkan di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM). Drama ini diarahkan oleh MP Roslin dan diterbitkan oleh Global Statiion Sdn Bhd. Drama 26 episod ini akan menggandingkan Amar Baharin dan Nadiya Nisaa sebagai peranan utama dalam drama tersebut. Selain itu juga, drama ini dibarisi pelakon lain seperti Fikhree Bakar, Mia Nasir, Razak Ahmad, Fadilah Mansor, Lan Siro, Shah Rezza, Chiwan Chilok, Adam Malek dan ramai lagi.

Drama ini mengisahkan, oleh disebabkan kejutan tidak menjadi, Ebrahim Alfarez (Amar Baharin) terpaksa balik ke Malaysia, berpuasa sendirian. Lagipun sudah lama dia tidak balik sejak dia putus cinta dengan Murni, dua tahun yang lalu. Sejak itu dia berkurung di Qatar dan tidak mahu pulang ke Malaysia.

Rindu dengan kek pandan maknya, Ebrahim pulang juga akhirnya. Tetapi kali ini dia bertemu dengan kek pandan buatan Ulya Ayani (Nadiya Nisaa), anak Pak Cik Ayob, jiran sebelah rumahnya. Ebrahim telah jatuh cinta dengan kek pandan Ulya.

Oleh disebabkan itu jugalah, Ebrahim terpaksa menyamar jadi ustaz untuk mengajar Pak Cik Ayob mengaji sambil-sambil hendak menjual ayat-ayat halal kepada Ulya. Manalah tahu, tiba syawal, Ebrahim beristeri seperti yang mak Ebrahim selalu harapkan. Masalahnya, Ebrahim ingatkan Ulya faham ayat-ayat halalnya, rupanya tidak. Ulya seorang yang lurus bendul!

Walaupun ada kekurangan, bagi Ebrahim, Ulya telah berjaya memenuhi tempat kosong dalam hatinya. Namun tempat kosong itu belum boleh dipenuhi kerana Ulya merupakan sepupu rapat Murni dan turut diminati oleh Ustaz Hassan. Muncul pula lamaran anak Mak Cik Jah buat Ebrahim pening kepala. Namun, bagaimana Ebrahim meyakinkan Ulya dengan ayat-ayat Halalnya untuk mengisi tempat kosong dihatinya? Adakah Ebrahim berjaya? Para penonton diharap bersabar menanti tayangannya di kaca televisyen.

Janda Kosmopolitan

Drama bersiri Janda Kosmopolitan merupakan sebuah drama yang diarahkan oleh Harris Fadzillah dan terbitan Rumah Karya Citra yang memiliki 26 episod.

Drama ini telah ditayangkan pada 3 Ogos lalu di saluran Awesome TV setiap Isnin hingga Rabu pada pukul 8 malam. Drama ini menemukan beberapa artis terkenal seperti Ziana Zain, Rozita Che Wan, Marissa Yasmin, Dato’ Ziela Jalil dan Liza.

Janda Kosmopolitan ini mengisahkan tentang Kelab Janda Metropolitan yang baru ditubuhkan bertujuan untuk menjaga hak dan melindungi kaum hawa dari golongan yang tidak bertanggung jawab.

Penubuhan kelab telah dirasmikan oleh presidennya Puan Sharifah Salmiah. Dalam ucapannya, dia memaklumkan bahawa objektif penubuhan kelab adalah untuk menjaga maruah kaum janda dan syarat-syarat menjadi ahli. Kelab ini memiliki cogan kata ‘Life Must Goes On.’

Menurut penulis drama ini menarik untuk ditonton kerana ada mengandungi unsur komedi yang mampu mencuit hati penonton. Dalam masa yang sama, di dalam drama ini bagi penulis ada menerapkan unsur femenisme kerana ada unsur mempertahankan hak asasi wanita. Antara pelakon-pelakon lain di dalam drama ini ialah Ifa Raziah, Norman Hakim, Aprena Manrose, Zarynn Min, Fikhree Bakar, Nazeera Sardi, Anne Abdullah, Azar Azmi, Diana Danielle, Azrel Ismail dan ramai lagi.

Luka di Hati Diya

Pelakon Isyariana bakal digandingkan dengan Niezam Zaidi dalam sebuah drama yang diadaptasi dari novel Luka di Hati Diya karya Hasliza Ismail. Drama ini diterbitkan oleh Global Station Sdn Bhd dan diarahkan oleh Eyra Rahman yang bakal disiarkan di saluran RTM.

Luka di Hati Diya ini mengisahkan tentang Diya Mirza (diperan oleh Isyariana) hidup dalam ketakutan tidak kira di mana beliau berada. Oleh kerana sikap peliknya itu membuatkan dia sering dipulaukan dan dibuli oleh rakan sekerja yang mencari kesempatan atas kelemahannya. Sehinggalah Remmy (diperan oleh Niezam) seorang staf baharu yang bekerja sebagai despatch muncul di syarikat tersebut.

Sikap naif dan pelik Diya menarik hati Remmy untuk terus mendalami hati wanita itu dan sekali gus memusnahkan benteng yang selama ini melindunginya. Apabila hati masing-masing sudah terpaut, mimpi hitam mula menjadi kenyataan setelah kebenaran mula terjawab.

Diya Mirza menyimpan kisah hitam dalam diari hidupnya dan dia kini dalam pelarian bersama ibunya. Apabila ayah tirinya muncul kembali mengganggu hidup mereka, Remmy terpaksa berkorban dan sebagai balasan, Remmy harus kembali ke pangkuan keluarga dan memikul tanggungjawab yang selama ini diabaikan.