Variasi drama melayu tontonan seisi keluarga

Oleh Adiiwira

Meskipun pada ketika ini panggung wayang di negara kita sudah dibenarkan beroperasi semula, namun beberapa cerita wayang baharu masih belum dikeluarkan di panggung di seluruh dunia.

Hal ini kerana ada sesetengah negara masih di bawah ancaman koronavirus atau baru mengalami kluster baharu jangkitan virus berkenaan.

Justeru beberapa wayang baharu terpaksa ditangguhkan waktu tayangannya dan ada juga penggambaran wayang baharu terpaksa dihentikan seketika sehingga waktu yang ditetapkan.

Dalam masa yang sama, pilihan terbaik untuk mencegah diri terdedah pada jangkitan virus berkenaan, adalah dengan meluangkan masa bersama keluarga dengan menonton televisyen di ruang tamu. Pada ketika ini, pelbagai rancangan televisyen banyak menawarkan drama-drama terkini untuk tontonan orang ramai. Drama-drama Melayu juga turut tidak ketinggalan dalam menyajikan cerita-cerita yang menarik. Dalam ruangan ini, penulis mengongsikan beberapa buah drama yang bakal dan ketika ini disiarkan:

Jalan Sesat Ke Syurga

Drama bersiri ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Aaron Aziz, Elizad Sharifuddin, Jalaludin Hassan, Aleza Shadan dan ramai lagi. Drama 34 episod ini diarahkan oleh Shuhaimi Zulkifli yang mengangkat isu ajaran sesat serta membongkar kisah benar kesesatan beragama yang ada di Malaysia. Drama ini mula ditayangkan pada 3 Ogos lalu di saluran Astro Prima, setiap Isnin hingga Jumaat pukul 6 petang.

Drama Kebaya Kasut Kanvas dibintangi oleh Nabila Razali, Fahrin ahmad dan Rozita Che Wan serta ramai lagi. – Agensi
Drama Pink Smile ini diadaptasi dari novel ‘Pink Smile’ karya Luna Adresia. – Agensi
Kamal Adli, sekali lagi digandingkan dengan Uqasha Senrose dalam drama baharu berjudul Perempuan Tanpa Dosa yang akan disiarkan pada bulan Oktober ini. – Agensi
Drama Jalan Sesat Ke Syurga ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Aaron Aziz dan Elizad Sharifuddin. – Agensi

Drama Jalan Sesat Ke Syurga ini mengisahkan tentang Hamzah (Aaron Aziz) dijodohkan dengan Inara (Siti Elizad) dan berhadapan dengan ajaran songsang fahaman Islam liberal kedua ibu bapa mertuanya (Jalaluddin Hassan dan Aleza Shadan) yang mengetuai kumpulan ajaran sesat masing-masing.

Inara adalah gadis periang yang hanya mahu berpeleseran. Selepas mengalami pengalaman ‘mati hidup semula’, Inara mula merasakan yang ini ialah peluang kedua untuk dia membe-tulkan semua kesilapan lalu. Inara mula sedar yang masih banyak yang perlu dipelajarinya. Inara mula rapat dengan Hamzah. Namun dalam mencari jalan kebenaran, dia keliru dengan fahaman Islam yang diamalkan oleh kedua ibu bapanya. Inara mula belajar tentang Hawa Islam tetapi rasa ada sesuatu yang janggal tentang pertubuhan itu. Inara juga mula didedahkan dengan Gerakan Elit.

Kebaya Kasut Kanvas

Drama Kebaya Kasut Kanvas merupakan sebuah drama yang diadaptasi dari novel ‘Si Baju Kurung Kasut Kanvas’ karya Umie Nadzimah. Drama ini diarahkan oleh Pyan Screw dan diterbitkan oleh Orang Tree Production yang dibintangi oleh Nabila Razali, Fahrin Ahmad dan Rozita Che Wan serta ramai lagi. Drama ini akan menemui penonton pada 12 Ogos ini, setiap hari Rabu dan Khamis pukul 6 petang di TV3.

Drama ini mengisahkan tentang Suria bekerja di sebuah syarikat fesyen. Dia dikenali dengan cara pemakaian uniknya yang gemar mengenakan baju kebaya dengan kasut kanvas.

Suria tidak pernah mempunyai teman lelaki sejak zaman kolej dan dia seorang yang terlalu sibuk dengan kerjanya sehingga ibunya, Cik Pah mula risau jikalau anak daranya tidak akan kahwin.

Tanpa pengetahuan Suria, Cik Pah telah menerima lamaran kahwin bagi pihaknya. Cik Pah juga merahsiakan siapakah bakal suaminya malah Suria disuruh untuk mencari siapakah lelaki tersebut. Cik Pah hanya memberi satu petunjuk bahawa Suria juga mengenali lelaki itu.

Perempuan Tanpa Dosa

Pelakon lelaki terkenal Kamal Adli, sekali lagi digandingkan dengan Uqasha Senrose dalam drama baharu bertajuk Perempuan Tanpa Dosa yang diadaptasi dari novel Fatinilam Sari Ahmad dengan menggunakan tajuk yang sama. Drama terbitan Juita Viden di bawah arahan Michael Ang ini mempunyai 28 episod yang disiarkan pada bulan Oktober di slot MegaDrama, Astro Ria.

Drama ini mengisahkan tentang maruah, di mana Datuk Majid terpaksa mengahwinkan anak tunggalnya, Lily dengan Rizal dan Rizal hanya akan melepaskan Lily sebaik saja Lily selamat melahirkan anak yang dikandungnya.

Sebagai imbuhan, Rizal meminta sejumlah wang dan dengan wang tersebut dia membina hidup di kampung halamannya. Saat perasaan sayang dan kasih Lily pada Rizal mula bercambah, Eddie datang semula untuk merebut kasih Lily dan juga anak di dalam kandungan.

Walaupun pada mula, Lily tekad memilih untuk terus bersama Rizal tetapi perasaannya menjadi berbelah bahagi tatkala dia mengetahui akan hubungan Rizal dengan Usu Sakinah. Lalu dia pergi membawa diri dan anaknya pulang ke Kuala Lumpur. Menyedari keadaan Lily dan Rizal, Usu Sakinah telah menguburkan harapannya terhadap Rizal lalu merima pinangan Rahman. Tika ketiadaan Lily, Rizal benar-benar merasa kehilangan dan kerinduan dan menyedari bahawa dia telah mula menyayangi Lily dan cuba memujuk Lily kembali ke pangkuannya. Berjayakah Rizal?

Drama ini turut dibintangi oleh Uyaina Arshad, Hilal Azman, Yusof Yusuf Bahrin, Zac Zaky, Susan Manen, Shaza Bae dan ramai lagi.

Pink Smile

Drama bersiri 20 episod ini menampilkan gandingan Fattah Amin dan Sweet Qismina yang diadaptasi dari novel ‘Pink Smile’ karya Luna Adresia.

Drama ini mengisahkan tentang kisah percintaan Luna (Sweet Qismina), seorang gadis ceria yang mempunyai senyuman yang menawan.

Senyumannya itu bertambah menawan dengan adanya pendakap gigi berwarna merah jambu sehingga menambat hati Areeq (Fattah Amin), seorang kartunis yang juga pengusaha kafe Duncan Cafe.

Luna merupakan seorang yang bersifat pemalu tetapi mempunyai angan-angan yang tinggi.

Drama ini diterbitkan oleh Creative Skill Solution Sdn Bhd dan di bawah arahan Ayie Mustafa yang disiarkan setiap Rabu hingga Jumaat sejak 31 Julai lalu pada pukul 9 malam.