Wednesday, March 19, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Variasi gaya dari Versace

    Oleh Zanyra Dawoud

     

    GAYA penampilan seseorang lelaki dikatakan boleh melambangkan personaliti yang mereka miliki. Bagi yang ingin tampil maskulin akan memilih warna-warna asas namun bagi yang cuba untuk tampil lebih berani dan lari daripada kebiasaan pula setentunya akan memilih variasi warna terang dan lain daripada yang lain.

    MENYEDARI akan citarasa lelaki dalam dunia fesyen kian meningkat dari tahun ke setahun, Versace sebuah jenama terkemuka kini juga semakin berani dalam mengorak langkah untuk mempelbagaikan lagi gaya yang boleh menyempurnakan lagi penampilan seseorang lelaki sebagaimana yang mereka inginkan.

    “Kita hidup dalam satu masyarakat yang memiliki pelbagai personaliti namun saya tetap percaya semangat persaudaraan itu tetap wujud di dalam diri setiap lelaki dan itu jelas menjadi inspirasi saya dalam menginterpretasikannya ke dalam fesyen yang saya persembahkan ke dalam koleksi terbaru ini,” jelas Donatella Versace.

    Tidak berpaksikan kepada hanya mereka pakaian yang sesuai untuk digayakan oleh seorang bintang di atas pentas persembahan, Versace juga semakin bijak dalam mempelbagaikan gaya seperti kemas, kasual dan funky.

    Bagi lelaki yang inginkan penampilan kemas boleh memilih untuk menggayakan tuxedo, kemeja, seluar slack dan tali leher bagi menzahirkan gaya kemas yang sempurna.

    Menariknya, Versace lari daripada kebiasaan yang kerap memilih hitam sebagai warna utama kerana kini beliau lebih berani untuk menampilkan variasi warna terdiri daripada ungu gelap, coklat dan merah.

    Sementara, rekaan jaket panjang yang dipadankan dengan seluar slack pula boleh memberikan satu penampilan kasual kepada golongan lelaki yang menggayakannya.

    Manakala, bomber jaket atau hoodies dengan padanan warna-warna terang pula lebih khusus dan sesuai untuk golongan lelaki yang berani tampil dengan gaya yang lebih funky.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda