Variasi lauk pauk

ENAKNYA menikmati hidangan yang menyelerakan bersama dengan keluarga tersayang.

Aneka hidangan makanan yang berasaskan hidangan laut setentunya akan membangkitkan selera setiap ahli keluarga yang ada.

Di samping itu, kuih-muih tradisional juga sesuai menjadi menu pencuci mulut dalam melengkapi menu hidangan.

Jiu Hu Char

Bahan-bahan:

1 ekor sotong kembang yang dipotong panjang.

½ biji lobak merah yang dipotong.

1 biji cili benggala hijau yang dipotong.

½ biji kubis yang dipotong kasar.

1 paket cendawan.

Bahan-bahan untuk menumis:

5 biji bawang merah yang dihiris nipis.

3 ulas bawang putih yang dihiris nipis.

1 sudu makan sos tiram.

1 sudu makan minyak bijan.

½ mangkuk air.

1 sudu makan minyak masak untuk menggoreng.

Sedikit garam dan gula.

Minyak masak secukupnya.

Cara memasak:

Panaskan minyak masak di dalam kuali. Tumis bawang merah dan bawang putih sehingga kekuningan. Masukkan sos tiram, minyak bijan dan sedikit air. Masukkan sotong, goreng sehingga lembut. Kemudian masukkan bahan-bahan lain seperti lobak merah, cili Benggala hijau, kubis dan cendawan. Akhir sekali masukkan perasa seperti garam dan gula secukup rasa. Angkat dan ia sedia untuk dinikmati.

Cucur Badak Berempah

Bahan-bahan inti:

400-500 gram kelapa parut.

30 gram cili kering yang dikisar.

100 gram bawang besar yang dikisar.

30 gram bawang putih yang dikisar.

30 gram serai yang dikisar.

15 gram kunyit hidup yang dikisar.

5 gram jintan manis yang disangai dan ditumbuk halus.

5 gram jintan putih yang disangai dan ditumbuk halus.

10 gram ketumbar yang disangai dan ditumbuk halus.

100 gram gula pasir.

Garam secukup rasa.

Bahan-bahan doh:

500 gram keledek kuning.

150 gram tepung gandum.

15 gram marjerin.

Garam secukup rasa.

Minyak untuk menggoreng secukupnya.

Cara memasak:

Untuk memasak inti, masukkan semua bahan ke dalam kuali kecuali kelapa parut. Kacau hingga semua bahan bertukar pekat. Masukkan kelapa parut, kacau sehingga kering. Sejuk dan ketepikan. Untuk membuat doh, rebus keledek sehingga empuk. Tos dan lenyekkan. Kemudian satukan keledek lenyek, tepung, gandum, garam dan marjerin ke dalam mesin pengisar, gaul sebati sehingga doh menjadi licin. Isi inti ke dalam doh dan bulat-bulatkan ia. Ulangi langkah sehingga selesai. Goreng sehingga garing, sedia untuk dihidangkan.

Udang Masak Asam

Bahan-bahan:

10 ekor udang XL bersihkan dan potong janggut.

½ mangkuk air asam jawa pekat

1 batang daun saderi yang dipotong serong.

Sedikit gula Melaka mengikut rasa.

Sedikit daun bawang.

Minyak masak secukupnya.

Bahan-bahan tumis:

3 biji bawang merah yang dihiris nipis

2 ulas bawang putih yang dihiris nipis

1 biji cili merah yang dihiris nipis

Cara memasak:

Perap udang bersama dengan air asam jawa. Kemudian goreng dengan sedikit minyak. Goreng seketika dan angkat. Ketepikan. Kemudian dengan minyak yang digoreng udang tadi, tumis bahan tumisan sehingga naik bau. Kemudian masukkan air asam jawa daripada perapan udang tadi dan daun bawang. Akhir sekali masukkan gula Melaka dan perasakan dengan garam secukup rasa. Angkat dan ia sedia untuk dinikmati.