Variasi resepi umpan memancing

UMPAN YOGURT

Bahan-bahan yang diperlukan:

3 biji telur itik atau ayam
2 gelas yogurt
1 kotak kecil susu penuh krim
Yis
Pes atau kordial strawberi
Roti sandwic

Cara-cara menyediakannya:

Pertama sekali masukkan tiga biji kuning telur itik ke dalam botol atau bekas bancuhan. Setelah itu masukan dua gelas yogurt sama ada berperisa asli atau buah. Masukkan pula susu penuh krim dan pes strawberi dalam anggaran lima hingga lapan penutup botol.

Setelah itu goncangkan botol bancuhan sehingga semua adunan sebati dan berbuih. Setelah itu masukan dua cubit yis ke dalam botol tadi dan goncang hingga sebati. Adunan ini perlu diperap selama empat jam sebelum digunakan. Ketika menunggu bancuhan tadi siap digunakan, potong roti sandwich mengikut banyak yang diperlukan di simpan di dalam satu bekas.

Lalu, setelah bahan bancuhan tadi siap, masukkan sebanyak lapan hingga sepuluh penutup pada roti yang dipotong tadi dan gaul hingga rata. Setelah itu simpan bancuhan roti tadi pada mata kail anda serta jadikannya berbentuk seperti bulat dan anda boleh memulakan memancing.

UMPAN IKAN AIR TAWAR

Bahan-bahan yang diperlukan:

Jagung
Mentega
Esen atau kordial (apa saja perisa)
1 biji telur itik
Ubi kayu
Laksa kering
Telur serangga (jika perlu)

Cara-cara menyediakannya:

Parut jagung yang tidak terlalu tua atau anda boleh menggunakan blender. Lalu campurkan dengan mentega dan kukus bahan-bahan tersebut hingga matang. Setelah itu siap dikukus, sejukkan bahan tersebut dan setelah ia sejuk tambah sedikit esen atau kordial yang anda suka dan gaul hingga rata. Lalu ramuan tadi dicampur dengan sebiji telur itik untuk menambah aroma bau daripada esen tersebut.

Jangan mengadun ramuan tersebut terlalu lembik dan tambahkan ubi kayu yang telah dikukus. Tumbuk atau blender laksa kering, lalu masukan ke dalam adunan tadi. Tujuan menambahkan laksa kering ini adalah untuk meliatkan adunan tadi.

Cara penggunaannya sangat mudah hanya dengan meletakkannya pada mata kail. Untuk mendapatkan umpan yang lebih berkesan, tambah telur serangga pada adunan tersebut sebelum meletakkannya pada mata kail.

UMPAN TERBAIK IKAN BELANAK

Bahan-bahan yang diperlukan:

500gm tepung gandum
5 sudu teh garam halus
Esen perisa udang
1 biji telur ayam
2 sudu besar majerin
Air bersih

Cara-cara menyediakannya:

Campurkan garam dan esen perisa udang dengan suku gelas air. Cairkan majerin. Dalam bekas yang lain, masukan telur dan campuran garam serta esen tadi pada tepung gandum sedikit demi sedikit dan uli adunan tersebut hingga sekata. Setelah itu masukan ke dalam bekas yang berisi majerin yang telah dicairkan.

Kukus adunan tersebut hingga masak, lalu tekan adunan tersebut hingga semuanya hancur merata. Umpan siap untuk digunakan. Selamat mencuba!