Varieti perahu pelbagai guna suatu ketika dahulu

Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman

PERAHU atau gubang telah digunakan seawal tahun 1920. Ianya merupakan alat perhubungan yang sangat penting pada ketika itu, khususnya bagi penduduk Kampong Ayer. Pelbagai jenis perahu yang digunakan oleh warga setempat antaranya ialah perahu Kompit, Bidar, Bagong, Pemukatan, Padian, Jumpong, Damit dan Lampai.

Mengingat kembali pada awal tahun 1950an, ramai orang berpusu-pusu ke kawasan tembok tebing atau kedai-kedai berdekatan dengan gudang kastam lama. Di sana, masyarakat setempat sibuk membeli barangan keperluan dapur mereka. Seperti di dalam gambar hitam putih yang disediakan penulis, terlihat perahu Padian, Pemukatan dan Tongkang bersusun rapat berdekatan dengan tembok tersebut. Tangga kayu juga disediakan bagi memudahkan orang ramai turun naik, membeli barangan atau hasil tangkapan pemukat mahupun pengalu.

Manakala perahu Bagong pula, seperti gambar yang dikongsikan penulis, terlihat perahu tersebut menelurusi Sungai Brunei dengan membawa kaum keluarga menuju rumah sanak-saudara menghadiri majlis pada ketika itu. Begitulah suasana dan keadaan alat pengangkutan di air sehari-hari. Namun kini, perahu-perahu seumpamanya sudah jarang dilihat, apalagi digunakan. Semua itu kini hanya tinggal kenangan sahaja dan boleh dikenang semula melalui gambar-gambar nostalgia lama yang masih disimpan rapi.

Orang ramai datang berpusu-pusu ke kawasan tembok tebing atau kedai-kedai berdekatan dengan gudang kastam lama pada tahun 1950an.
Sebuah perahu Bagon, yang sarat membawa para penumpang, menelusuri Sungai Brunei pada tahun 1969.