Velez CF sambar Ricciuto

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Bekas pemain tengah DPMM FC, Blake Ricciuto telah melengkapkan perpindahannya ke Velez CF setelah kelab divisyen keempat Sepanyol itu mengumumkannya untuk musim 2020/2021 baru-baru ini.

Pemain tengah itu meninggalkan DPMM FC pada akhir musim lalu setelah memainkan peranan penting dalam membantu mereka memenangi gelaran Liga Perdana Singapura.

Pemain warga Australia-Uruguay itu kini akan bermain di Divisyen Tercera, Sepanyol musim depan.

Kelab Velez CF mengatakan salah seorang pemain tambahan baharu mereka, “Dengan Blake, kami mendapatkan pemain tengah yang dapat memberikan sumbangan baik dalam serangan dan pertahanan.

“Dia berketurunan Australia dan Uruguay jadi dia dapat berbahasa Inggeris dan Sepanyol,” tambah kelab itu.

Bekas pemain tengah DPMM FC, Blake Ricciuto (kiri) telah melengkapkan perpindahannya ke Velez CF untuk musim 2020/2021.

“Blake mempunyai pengalaman dari liga yang berbeza dan selalu menjadi pemain penting untuk pasukannya di dalam dan di luar lapangan kerana kualiti yang dimilikinya. Dia juga seorang yang bekerja keras dan sangat profesional serta ramah.”

Pemain berusia 28 tahun itu memberi impak yang baik di Negara Brunei Darussalam semasa bersama dengan pasukan DPMM FC dan menjadi pemain kegemaran penyokong kerana permainannya yang cukup mantap di posisi tengah.

Ricciuto dianugerahkan Pemain Terbaik Bulanan Liga Perdana AIA Singapura berikutan beberapa persembahan hebat pada bulan April tahun lalu.

Jaringannya semasa kemenangan 7-1 menentang Balestier Khalsa juga terpilih sebagai Mitre Singapore Goal of the Month.

Pemain tengah itu tiba di negara ini bersama pemain pertahanan, Charlie Clough dan penyerang Andrei Varankou tahun lalu ketika DPMM FC memulakan pencarian pemain import untuk meningkatkan skuad dalam kempen 2019.

Dia merupakan pemain kesebelasan utama yang mengawal bahagian tengah dan telah menjaringkan sembilan gol dalam 23 penampilan.

Ricciuto memulakan karier seniornya pada tahun 2009 bersama St George FC, sebuah kelab yang bertanding di Liga Perdana Nasional NSW 2 di Australia di mana dia mencatat dua gol dalam 41 penampilan.

Setelah menghabiskan dua tahun dengan kelab itu, dia berpindah ke Penarol dan segera dihantar melalui pinjaman ke Kelab Bolasepak Kanada di Divisyen Segunda, Uruguay.

Pemain tengah itu kembali ke Australia pada tahun 2016 dan bermain untuk Rockdale City Suns, menjaringkan tujuh gol dalam 66 penampilan liga sebelum berpindah ke Brunei.