Venezuela ganda keluaran minyak

MOSCOW, 3 OKT – Venezuela, pengeksport minyak terbesar di Amerika Selatan, hari ini mengumumkan matlamat menambah dua kali ganda pengeluaran menjelang 2020 di tengah krisis ekonomi dan sekatan Amerika Syarikat (AS).

“Kami mempunyai rancangan untuk kembali kepada tahap pengeluaran 2018 di antara 1.5 dan 1.6 juta tong sehari pada 2019,” kata menteri minyak Venezuela Manuel Quevedo (gambar bawah) pada forum tenaga di Moscow. Beliau berkata Caracas akan ‘menyasarkan lebih daripada 2 juta tong sehari pada 2020.’

Pada Ogos 2019, pengeluarannya berjumlah 933,000 tong sehari menurut angka rasmi yang dipetik oleh OPEC, merosot daripada lebih dua juta pada 2017.

Venezuela adalah tempat terletaknya simpanan minyak terbesar di dunia.

Negara itu memperoleh hampir kesemua pendapatannya daripada minyak dan mengalami krisis pada 2014 ketika kemelesetan dalam harga minyak mentah.

Caracas juga menjadi sasaran sebahagian besar sekatan ekonomi AS bertujuan memberikan tekanan kepada Presiden Nicolas Maduro, termasuk sekatan minyak.

Rusia ialah penyokong antarabangsa utama Venezuela dan telah membuat beberapa pelaburan di negara itu menerusi syarikat gergasi minyak Rosneft. – AFP