CARACAS, 16 Ogos – Presiden Venezuela Nicolas Maduro semalam, menggesa diadakan perbincangan di peringkat antarabangsa bagi menyelesaikan perbezaan pandangan dan campur tangan Amerika Syarikat (AS).
Gesaan itu susulan kenyataan Presiden AS Donald Trump minggu lepas yang tidak menolak kemungkinan mengambil langkah ketenteraan bagi menggulingkan Maduro dan Parti Bersatu Sosialis.
“Bagi menggalakkan kedaulatan sesebuah negara dihormati masyarakat antarabangsa, saya mencadangkan diadakan “dialog peradaban”, katanya dalam satu mesyuarat bersama dengan duta dari Asia, Eropah dan Amerika Latin.
Naib Presiden AS Mike Pence memulakan lawatan ke Amerika Latin pada Ahad untuk membina satu pakatan serantau bagi mengasingkan Venezuela.
“Ancaman seperti itu hanya boleh dihentikan melalui dialog,” kata Maduro.
Selain itu, beliau menggesa diadakan sidang kemuncak tergempar Komuniti Amerika Latin dan Caribbean (CELAC) dengan agenda utama membincangkan kemungkinan campur tangan ketenteraan AS.
Washington yang menyokong pembangkang sayap kanan di Venezuela, mendakwa Maduro menghancurkan demokrasi di negara itu dengan mewujudkan Dewan Perlembagaan Negara (ANC) bagi meminda Perlembagaan.
ANC dicadangkan Maduro pada Mei, bagi menulis semula Perlembagaan 1999 bertujuan memecahkan kebuntuan politik yang dilihatnya melumpuhkan negara Amerika Selatan.
Bagaimanapun, pembangkang berpendapat usaha itu hanyalah alasan Maduro untuk mengukuhkan lagi kuasanya. – Bernama