CARACAS, 4 SEPT – Presiden Venezuela, Nicolas Maduro telah mengisytiharkan bahawa Krismas akan disambut awal tahun ini, pada 1 Oktober, ketika beliau berusaha untuk memberikan keceriaan percutian selepas pilihan raya presiden yang dipertikaikan oleh pembangkang yang mendakwanya menipu.
Pemimpin berusia 61 tahun itu dijangka meneruskan penggal ketiga selama enam tahun walaupun mendapat bantahan daripada pembangkang dan masyarakat antarabangsa berhubung keputusan pilihan raya 28 Julai lalu.
“Sebagai penghormatan kepada awda, sebagai tanda terima kasih kepada awda, saya akan mengeluarkan dekri bahawa Krismas akan dipinda ke 1 Oktober,” kata Maduro semasa muncul di televisyen, Isnin lalu.
Ia bukan kali pertama Maduro menukar tarikh Krismas sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara majoriti Katolik itu daripada Hugo Chavez pada 2013.
Kali ini, langkah itu nampaknya sebagai satu tindakan untuk mengalih perhatian penduduk daripada kemarahan terhadap pilihan raya yang didakwa oleh pembangkang layak dimenanginya.
Amerika Syarikat dan beberapa negara Amerika Latin menyokong dakwaan kemenangan pembangkang Venezuela, manakala Mexico, Colombia dan Brazil yang rapat dengan Maduro enggan mengiktiraf keputusan rasmi tanpa melihat jumlah undian terperinci.
Agensi pilihan raya berkata ia tidak boleh menerbitkan rekod itu kerana penggodam telah menghapus data, walaupun pemerhati berkata tidak ada bukti yang mengesahnya.
Pendakwa raya telah mengeluarkan waran tangkap terhadap calon pembangkang Edmundo Gonzalez Urrutia, yang sedang bersembunyi, berhuung desakannya bahawa dia memenangi pilihan raya itu.
“Tiada sesiapa di negara ini yang berada di atas undang-undang, institusi, seperti yang cuba dilakukan Edmundo Gonzalez Urrutia yang pengecut ini” kata Maduro.
Bantahan selepas kemenangan Maduro diumumkan menyebabkan 25 orang awam dan dua tentera terbunuh, hampir 200 orang cedera dan lebih 2,400 dipenjarakan. – AFP