Venezuela terima 90 tan bantuan kemanusiaan

CARACAS, 9 APRIL – Sebuah kapal terbang membawa 90 tan bantuan kesihatan, air dan sanitasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tiba di Venezuela semalam untuk membantu negara itu membendung pandemik koronavirus.

Hantaran termasuk 28,000 kit Peralatan Perlindungan Peribadi untuk pekerja kesihatan, alat penepuan oksigen, katil pediatrik, produk kawalan kualiti air dan kit kebersihan diri, kata PBB.

“Ia adalah hantaran kemanusiaan PBB pertama untuk membendung wabak COVID-19 di Venezuela,” kata Peter Grohmann, penyelaras kemanusiaan PBB untuk Venezuela.

Venezuela, terjejas akibat krisis ekonomi teruk yang telah menimbulkan kekurangan makanan asas dan ubat telah memaksa kira-kira lima juta penduduk melarikan diri dari negara, mempunyai 167 kes koronavirus yang disahkan dan sembilan kematian.

Sumbangan bantuan adalah sebahagian daripada fasa awal respons terhadap pandemik dan akan disalurkan untuk membantu ‘kanak-kanak, wanita dan keluarga yang terjejas’ di 14 hospital, 50 klinik pesakit luar dan pusat perkembangan kanak-kanak, menurut wakil UNICEF Venezuela, Herve Ludovic de Lys. PBB dan Palang Merah juga telah menghantar lebih daripada 16 tan bekalan perubatan kepada 20 negara di Latin Amerika dan Caribbean untuk membantu mereka memerangi pandemik, dan merancang menghantar bahan tambahan.

Keutamaan akan diberikan kepada ‘Ecuador, diikuti oleh Venezuela dan Colombia,” kata Walter Cotte, pengarah serantau Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah.

Beliau menambah beliau ‘amat bimbang’ mengenai situasi di Republik Dominican dan Haiti. – AFP