Venezuela usir duta Jerman

CARACAS, 7 Mac – Venezuela telah mengusir duta Jerman semalam, memberi tamparan ke atas sokongan antarabangsa terhadap ketua pembangkang, Juan Guaido tatkala Amerika Syarikat (AS) meningkatkan sekatan dalam usaha untuk menumbangkan pesaingnya, Presiden Nicolas Maduro.

Sementara itu, seorang wartawan AS telah ditahan oleh pasukan keselamatan Venezuela selama kira-kira 12 jam dan dijangka diusir keluar, dalam satu insiden yang dikecam oleh beberapa kumpulan sokongan berkaitan serangan terhadap hak kebebasan bersuara.

Kementerian luar Venezuela telah memberikan tempoh 48 jam ke atas perwakilan Jerman, Daniel Kriener untuk meninggalkan negara itu berikutan ‘campur tangan’ dalam hal ehwal dalaman Venezuela, di mana dia telah menyambut kepulangan Guaido ke negara itu di lapangan terbang Caracas, Isnin lalu.

Guaido berkata pengusiran Kriener akan dilihat sebagai ‘ancaman terhadap kebebasan dunia.’ Kriener merupakan antara berpuluh-puluh perwakilan asing yang mengalu-alukan kepulangan ketua Perhimpunan Agung itu, yang diiktiraf sebagai presiden sementara oleh lebih 50 buah negara, satu-satunya yang dianggap sebagai ‘persona non grata’ setakat ini.

Duta Jerman itu telah membantu dalam cubaan membawa masuk bantuan kemanusiaan ke negara itu, kata Guaido dalam satu ucapan kepada penggubal undang-undang pembangkang, dengan menambah: “Nampaknya rejim Maduro tidak akan mengampuni sesiapa yang mahu membantu Venezuela.”

Manakala, menurut Menteri Luar Jerman, Heiko Maas berkata pengusiran Kriener hanya akan ‘memburukkan lagi situasi’ di negara itu.

“Caracas memberi mesej kepada masyarakat antarabangsa bahawa bantuan seumpama itu akan berdepan akibat, malah ia turut membawa risiko,” kata penganalisis Venezuela, Marino de Alba. – AFP

Gambar fail bertarikh 19 Februari lalu menunjukkan Kriener disoal oleh para pemberita setelah menghadiri pertemuan bersama Guaido di Perhimpunan Agung, Caracas. – AFP