Venice dibanjiri air pasang luar biasa

ROM, 5 JUN – Satu suku kawasan di Venice telah ditenggelami air pasang yang tinggi untuk Jun, pada masa apabila banjir sedemikian jarang berlaku.

Paras air di bandar lagun Itali mencecah 116 sentimeter lewat semalam, paras ketiga tertinggi untuk Jun. Paras tersebut menandakan kira-kira satu perempat daripada kawasan Venice telah pun dibanjiri.

Agensi pengawasan laut Venice menyalahkan air pasang musim bunga yang luar biasa tinggi ke atas ribut di Atlantik yang membawa angin kencang dan hujan ke utara Itali. Satu lagi air pasang luar biasa dijangka berlaku pada malam ini.

Air pasang tertinggi pada Jun dicatat pada 2002, apabila paras air mencecah 121 sentimeter, diikuti oleh 117 sentimeter pada Jun 2016.

Pihak berkuasa Venice pada hari ini tidak mengeluarkan jambatan pejalan kaki, yang biasanya hanya digunakan dalam musim kemuncak ‘acqua alta’ dari September hingga April.

Venice dan seluruh kawasan Itali masih ditutup kepada kapal persiaran tetapi Itali melonggarkan sekatan perjalanan untuk penduduk Itali dan kebanyakan penduduk Eropah pada Rabu. – AP

Kelihatan dataran St Mark dibanjiri di Venice, Itali pada 4 Jun 2020. – AP