Venice ditenggelami air pasang

VENICE, 13 NOV – Venice dilanda air pasang tertinggi dalam lebih 50 tahun lewat semalam, dengan pelancong mengharungi jalan dibanjiri untuk mendapatkan tempat berteduh tatkala angin kencang mencetuskan ombak besar di Dataran St Mark’s.

Air pasang luar biasa, atau ‘acqua alta’, mencecah kemuncak pada 1.87 meter tatkala amaran banjir dibunyikan di seluruh bandar Itali, kata pusat pengawasan air padang.

“Buat masa ini, kami sedang menghadapi air pasang amat tinggi. Semua orang telah dikerah untuk menghadapi situasi kecemasan,” tulis datuk bandar Venice Luigi Brugnaro di Twitter.

Hanya sekali sejak rekod bermula pada 1923 air telah naik lebih tinggi, mencecah 1.94 meter pada 1966.

Tatkala perkhidmatan kecemasan meninjau kerosakan di terusan, media Itali melaporkan seorang penduduk tempatan berusia 78 tahun telah terbunuh akibat renjatan elektrik apabila air membanjiri rumahnya.

Orang ramai mengharungi air semasa air pasang di Venice, kelmarin. – AP

Pengawal pantai menggunakan bot tambahan sebagai ambulans air.

Teksi air yang cuba menurunkan penumpang di hotel bersejarah di sepanjang Terusan Besar mendapati laluan jalan telah pun dihanyutkan, dan terpaksa membantu penumpang keluar menerusi tingkap.

“Malam adalah panjang,” tulis Brugnaro di Twitter, berkata tatkala paras air mulai surut sekali lagi ‘kebimbangan akan diganti dengan penilaian kerosakan.’

Beliau berkata beliau akan mengisytiharkan keadaan darurat untuk bandar itu.

Banjir luar biasa, yang dipersalahkan oleh beliau ke atas perubahan iklim merupakan ‘satu luka yang akan meninggalkan parut berkekalan.’

Dataran St Mark’s adalah paling teruk terjejas oleh air pasang kerana ia terletak di salah satu kawasan paling rendah di bandar. – AFP