Ventura: Balotelli perlu berubah sikap

MILAN, 23 Feb – Penyerang kontroversi Mario Balotelli (gambar) telah menunjukkan beberapa tanda-tanda positif untuk kembali ke dalam skuad kebangsaan, jurulatih Itali Gian Piero Ventura memberi amaran pada Rabu.

Kali terakhir budak nakal itu bermain untuk Itali ialah pada kempen malang Piala Dunia2014 menyebabkan kerjaya antarabangsa dan kelab beliau terumbang-ambing.

Selepas permulaan pantas bersama kelab divisyen pertama Perancis, Nice musim ini, pemain berbadan tegap itu menyerlah kembali dengan beberapa jaringan dan umpanan yang menarik.

Keadaan itu mendorong Ventura menawarkan Balotelli perjalanan pulang bulan lalu dan berikrar untuk bersua muka bagi ‘membincangkan’ masalah tingkah laku, tetapi prospek kini nampak tipis.

Bekas Inter Milan, AC Milan, Manchester City dan penyerang Liverpool itu telah dilayangkan kad merah ketiga musim ini hujung minggu lalu kerana perbezaan pendapat dalam kemenangan 1-0 di Lorient.

“Kami perlu bersua muka tetapi sehingga kini saya tidak pernah melihat tanda-tanda positif,” Ventura memberitahu media di pusat latihan Itali di Coverciano berhampiran Florence.

“Tidak ada yang mempertikaikan bakat beliau, tetapi yang lain… fakta menunjukkan Balotelli perlu membuat perubahan. Sayang sekali beliau belum bersedia. Nanti kita lihatlah.”

Sementara itu, kerjaya antarabangsa bekas penyerang Southampton Graziano Pelle, yang kini bermain bersama pasukan Shandong Luneng Liga Super China nampaknya berakhir.

Pelle memainkan peranan utama Itali ke suku akhir Euro 2016 di bawah bekas jurulatih Antonio Conte dengan menjaringkan gol menentang Belgium, Sepanyol sebelum terlepas penalti ketika penentuan suku akhir menentang Jerman.

Beliau diketepikan dari skuad kerana enggan berjabat tangan dengan Ventura selepas digantikan ketika seri 1-1 dengan Sepanyol pada kelayakan Piala Dunia di Turin Oktober lalu. – AFP