Verona ikat Roma, peminat mula dibenarkan ke stadium

MILAN, 20 SEPT – Roma mencatat keputusan seri 0-0 dalam perlawanan pembukaan Serie A mereka menentang Verona kelmarin dengan Gaetano Castrovili menjaringkan gol dalam kemenangan 1-0 buat Fiorentina ke atas Torino dalam perlawanan tanpa kehadiran peminat sebelum peminat dibenarkan untuk menyaksikan perlawanan dalam jumlah penyokong yang terhad 24 jam kemudian.

Menteri Sukan, Vicenzo Spadafora bersetuju untuk membenarkan sehingga 1,000 orang peminat dalam acara sukan di tempat terbuka di Itali pada hari ini.

Juara bertahan sembilan kali berturut-turut Serie A, Juventus berkata peminat akan dibenarkan untuk pergi ke Stadium Allianz menentang Sampdoria ‘dengan kehadiran 1,000 tetamu’ di Turin.

“Tiket perlawanan tidak akan dijual dan kami menyeru kepada Juventus supaya tidak pergi ke Stadium Allianz bagi mengelak perhimpunan di luar stadium,” katanya dalam kenyataan.

Parma dan Sassuolo turut berkata bahawa mereka akan membenarkan peminat menyaksikan perlawanan ketika menentang Napoli dan Cagliari masing-masing.

“Akses hanya akan diberikan kepada mereka yang menerima jemputan sahaja, kepada penaja, yang telah menunjukkan sokongan hebat kebelakangan ini,” kata Parma.

Di padang, Roma memulakan kempen mereka dengan permulaan lembap di bawah pemilik baharu AS, Dan Friedkin, dengan pasukan kelima pada tahun lalu terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tersebut. – AP