Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Julai – QAF Eurokars, selaku pengedar rasmi model Porsche di negara ini, memperkenalkan Porsche Macan Turbo versi Performance Package kepada pengamal media permotoran buat pertama kalinya di pusatnya di Beribi hari ini.
Pengurus Pemasaran dan Jualan QAF Eurokars, Ian Salleh ketika memperkenalkan Macan Turbo Performance Package ini, mengatakan kereta berprestij itu dilengkapi enjin 3.6 liter V6-Bi-Turbo dengan transmisi 7 kelajuan Porsche Dopplekupplung (PDK) yang mampu menghamburkan kekuatan 440 kuasa kuda, berbanding 400 kuasa kuda Macan sebelumnya.
Menurutnya lagi, ia mampu memberikan kuasa pecutan dari sifar kepada 100km sejam dalam masa 4.4 saat sahaja dengan kekuatan tork boleh mencapai 600 Nm. Ia juga dipertingkatkan dengan sistem brek serba baharu, pakej Chrono dan sistem ekzos sportif.
Manakala dari segi rekaannya, ia masih mengekalkan rekaan sama seperti Porsche Macan Turbo yang mempunyai bentuk lebar, melengkung dan digagahkan lagi dengan lampu LED pada PDLS Plus.
Orang ramai yang ingin menyaksikan dan menguji sendiri kehebatan Porsche Macan baru ini, bolehlah mengunjungi Bilik Pameran Pusat Porsche Brunei di Beribi.